KPDNHEP tahan kenderaan diubah suai bawa diesel - Utusan Malaysia

KPDNHEP tahan kenderaan diubah suai bawa diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM 25 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan diesel susulan penahanan sebuah kereta yang diubah suai di Jalan Padang Besar, Perlis, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari, pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero di sebuah stesen minyak itu mendapati kenderaan tersebut memiliki lima buah tangki besi tambahan yang dijadikan tempat penyimpanan bahan api.

Lebih mengejutkan, semakan rekod turut mendedahkan kenderaan sama pernah ditahan Februari lalu kerana kesalahan serupa sebelum dikenakan kompaun dan kembali melakukan kegiatan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah berkata, kereta itu mampu memuatkan hampir 1,200 liter diesel atau petrol pada satu-satu masa setelah mengubah suai bahagian dalam dan bawah kenderaan.

OMAR ISMAIL memeriksa tong gas petroleum cecair yang dirampas di sebuah rumah yang dijadikan stor pe
OMAR ISMAIL memeriksa tong gas petroleum cecair yang dirampas di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan di Pokok Sena dalam sidang akhbar di Stor Ekshibit KPDNHEP di Bukit Kayu Hitam, Kedah hari ini. – UTUSAN ONLINE

“Hasil pemeriksaan dalam operasi itu mendapati terdapat kira-kira 200 liter diesel dalam salah sebuah tangki besi yang diubah suai.

“Soal siasat terhadap lelaki berusia 30-an yang memandu Pajero itu juga mendapati dia tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membeli dan menyimpan barang kawalan,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Ekshibit KPDNHEP, di sini hari ini.

Mohamad Amir berkata, sindiket terbabit dipercayai menggunakan modus operandi dengan mengisi diesel di beberapa buah stesen minyak sebelum masuk ke negara jiran untuk menjualnya.

“Kita percaya kenderaan itu juga diubah suai di Thailand dengan kos kira-kira RM5,000 kerana ketika ditahan dahulu kita sudah membuang kesemua tangki terbabit dan mungkin pemiliknya memasang semula,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan, KPDNHEP Kedah pula berjaya merampas sebanyak 267 tong gas petroleum cecair atau LPG di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan di Pokok Sena, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Omar Ismail berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 55 tahun untuk membantu siasatan kerana gagal mengemukakan dokumen penyimpanan barang kawalan berjadual.

“Kita turut menahan dua buah lori di lokasi sama yang masing-masing membawa 89 unit dan 98 unit LPG berkapasiti 12 dan 14 kilogram (kg),” ujarnya.

Ujar Omar, jumlah keseluruhan termasuk rampasan dua buah lori itu mencecah RM53,272. Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini