ALOR SETAR – Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengemukakan rayuan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung penggantungan tonggak pertahanan import mereka, Renan Alves yang tidak dapat beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA, hujung minggu ini.
Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa berkata, pihaknya akan membuat rayuan secara rasmi dalam kadar segera agar dipertimbangkan MFL supaya pemain berasal dari Brazil itu dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Perak.
“Kita sudah membuat semakan dengan MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menyatakan Renan akan digantung dalam perlawanan seterusnya iaitu final Piala FA, Sabtu ini selepas mengutip kad merah dalam aksi terakhir Liga Super.
“Ini berdasarkan peraturan tindakan tatatertib pertandingan kejohanan Liga Malaysia. Bagaimanapun, kita akan membuat rayuan segera kerana terdapat sedikit kekeliruan dalam perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam perlawanan terakhir Liga Super menentang Felda United, Ahad lalu, Renan menerima kad kuning kedua selepas mengasari penyerang The Fighters, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal yang menyaksikan perlawanan berkesudahan Lang Merah tewas 5-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Situasi sama pernah berlaku terhadap penyerang import Perak, Gilmar Jose Da Silva yang tidak dapat beraksi dalam Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) awal tahun ini selepas digantung satu perlawanan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. -UTUSAN ONLINE











