KUALA LUMPUR 25 Julai – AirAsia Group Bhd., bersama Teleport Everywhere Pte. Ltd. dan Tripple I Logistics PLC, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengintegrasikan kapasiti kargo.
Pengerusi Eksekutif AirAsia Thailand, Tassapon Bijleveld berkata, kerjasama itu membuktikan komitmen berterusannya terhadap kemudahan sedia ada di Thailand dengan memperkukuh perkongsiannya dengan platform logistik anak syarikat milik penuhnya, Teleport.
Katanya, kerjasama dengan Teleport akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelanggan, terutama pengangkut barang serantau dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
“Kami mempercayai Triple I Logistics sejak hampir sedekad. Kerjasama ini dapat membantu memanfaatkan sepenuhnya ruang kargo dan rangkaian kami yang tiada tandingannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport Pete Chareonwongsak berkata, syarikat itu mempunyai rangkaian paling luas dan kukuh di Asia, meliputi 35 dari 50 bandar terkemuka di rantau ini.
“Menerusi infrastruktur ini, kami berupaya menawarkannya kepada individu dan syarikat, sekali gus membolehkan mereka mengangkut apa sahaja yang mereka inginkan dengan cepat dan mudah. Berdasarkan visi bersama ini, teknologi kami dan gabungan pengalaman tempatan Triple i, mencetuskan keajaiban di Thailand,” katanya.
Beliau berkata, Teleport kini dalam misi untuk memindahkan barangan dan e-dagang secara lancar di seluruh Asia Tenggara, memanfaatkan rangkaian AirAsia ke lebih 100 bandar raya dan 10,000 penerbangan mingguan di seluruh Asia Pasifik.
“Penyepaduan ruang kargo AirAsia Thailand dan AirAsia X Thailand melengkapkan kejayaan Teleport untuk menyatukan semua syarikat penerbangan AirAsia,” katanya.











