Kemaruk kemuliaan melalui tipu daya - Utusan Malaysia

Kemaruk kemuliaan melalui tipu daya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMAT Islam tidak sepatutnya terkinja-kinja memburu kemuliaan yang tidak mengikut piawai Islam sehingga melanggar batas-batas syarak demi mencapai cita- cita meraih kemuliaan.

Dalam memaknakan kemuliaan itu sendiri, ramai yang masih keliru. Menariknya al-Quran memperincikan makna kemuliaan, cara untuk meraihnya dan sekali gus memberi amaran agar tidak mencari kemuliaan dengan tipu daya.

TIMBALAN Mufti Perak, Zamri Hashim. - UTUSAN ONLINE
ZAMRI HASHIM 

Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya).

Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.(QS Fatir:10)

Firman Allah lagi: Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (QS al munafiqun :8)

Dua ayat di atas jelas merujuk bahawa Allah adalah sumber kemuliaan. Rasul dan orang-orang beriman lebih utama terlebih dahulu mendapat kemuliaan kerana ketaatan mereka kepada Allah Yang Maha Mulia.

Merujuk kemuliaan kepada piawai-piawai lain tanpa dirujuk semula kepada piawaian Allah adalah satu kesilapan.

Di dalam ayat 10 surah Fatir di atas, jelas memberi panduan kepada kita acara mendapat kemuliaan menurut piawaian Allah memperjuangkan ‘kalimah toyyibah’ iaitu laa ila ha illallah. Walaupun ada ahli tafsir yang merekodkan kalimah-kalimah tertentu berbentuk zikir dimaknakan sebagai segala perkataan yang baik, namun kalimah toyyibah yang merupakan ikrar ketuhanan hanya mutlak milik Allah SWT adalah yang paling utama kerana pemahaman terhadap kalimah ini membentuk falsafah kehidupan yang tersendiri.

Bahkan ia sangat dimusuhi oleh falsafah-falsafah yang mempertuhankan hawa nafsu. Memperjuangkan falsafah kehidupan yang bersumberkan tiada tuhan yang disembah melainkan Allah adalah satu kemuliaan.

Mencari kemuliaan melalui sistem-sistem lain adalah satu kehinaan apabila menolak sistem Allah. Kemuliaan tidak mampu diraih oleh pejuang yang hanya kaya dengan idea-dea, teori-teori yang terawang-awang tanpa mampu dumikan secara realistik.

Pada ayat berkenaan juga menegaskan amal-amal soleh yang diterima Allah lah yang akan menjulang pelaku-pelakunya mendapat kemuliaan dari Allah.

Ayat berkenaan juga memberi amaran kepada pemburu-pemburu kemuliaan dengan cara tipu daya bahawa mereka sedang ditunggu oleh azab Allah yang maha pedih dan tipu daya mereka akan binasa.

Dalam masyarakat kita, menggunakan tipu daya untuk meraih sesuatu yang mereka sangka mulia itu sering juga berlaku. Ada orang sanggup menipu untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi. Ada orang sanggup memfitnah untuk menjatuhkan pesaing. Ada orang sanggup merasuah untuk kekal kaya kerana menganggap ia satu kemuliaan dan berbagai cara tipu daya lagi.

Kesimpulannya, apa juga kemuliaan yang bercanggah dengan syariat Allah ataupun cara mendapatkan kemuliaan itu melanggar hukum hakam Allah penuh tipu daya maka hakikatnya ia bukan kemuliaan bahkan ia adalah satu kehinaan.

USTAZ ZAMRI HASHIM

Timbalan Mufti Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini