KUALA LUMPUR – Kejohanan Remaja Antarabangsa Ireland pada hujung bulan bakal menjadi medan terbaik buat skuad kanu polo negara menguji kekuatan sebenar mereka selepas menjalani persediaan sejak awal tahun ini.
Dalam masa sama peryertaan di Ireland juga adalah sebahagian persiapan akhir skuad kanu polo negara sebelum menghadapi Kejohanan Kanu Polo Asia di Ningbo, China pada September ini.
Bendahari Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Mohd. Nadzrul Baharom berkata, tiada sebarang sasaran pingat disandarkan kepada skuad negara di Ireland kerana ia juga menjadi antara pentas untuk lima atlet menimba pengalaman.
“Kita akan menghantar seramai lima atlet utama ke Belfast, Ireland untuk mereka menimba pengalaman sebelum ke Kejohanan Kanu Polo Asia selepas ini.
“Sepatutnya Kejohanan Asia berlangsung di Iran pada Ogos ini tetapi kerana kurang mendapat sambutan ia terpaksa dibatalkan sekali gus menyebabkan kejohanan di China nanti menjadi kejuaraan utama,” katanya.
Untuk rekod acara kanu polo tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019, namun ia tetap penting ia antara salah satu acara utama Sukan Asia Hangzhou 2022.
Dalam aksi Sukan Asia 2018, skuad kanu polo negara berjaya meraih pingat perak malah pencapaian tersebut amat membanggakan terutama apabila berjaya menewaskan juara bertahan enam kali, Taiwan dalam aksi separuh akhir.
Ketika ini Malaysia menghuni kedudukan ranking kesembilan dunia bagi kategori bawah 21 tahun sekali gus berpotensi memenangi pingat emas pada Sukan Asia akan datang.- UTUSAN ONLINE











