Kejian warganet, budak boleh terimakah? - Utusan Malaysia

Kejian warganet, budak boleh terimakah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BETULKAH gigi Aina tak cantik? Muka Aina buruk sangat dan gemuk macam badak sumbu? Itu tanya seorang anak kepada ibunya apabila didesak banyak kali setelah melihat anak itu murung sejak beberapa hari.

“Mana ada. Tak betul! Siapa cakap tu? tanya si ibu. Anak itu pun menunjukkan mesej dan komen dalam akaun media sosialnya. Ada seorang `kacang hantu’ dalam akaun Facebook anaknya itu, bukan kawan sekolahnya, telah menghantar macam-macam mesej kejian dan hinaan terhadap budak itu.

Antaranya – Eh, gigi awak macam gergasi lah. Mati lagi bagus. Sudahlah muka buruk, badan gemuk macam rhino. Looser!

Memuatkan artikel berkaitan…

Inilah situasi yang saya dapat daripada seorang kawan. Anaknya menjadi mangsa buli siber. Bila orang dewasa yang baca komen sebegini, kita boleh ketawa. Anggap ia gurauan budak yang tak ada kerja lain selepas bosan tengok televisyen. Tetapi bukan kanak-kanak yang menerima kejian dan penghinaan itu.

Adakah ini sesuatu yang remeh? Remeh kepada kitalah orang dewasa. Bukan macam kita. Sebahagian besar dalam kalangan orang dewasa memang tahan maki dan tahan kutukkan warganet. Apa ada hal, orang maki dan kutuk kita, kita balas baliklah makian dan kutukan itu. Betulkah?

Macam mana pula dengan penerimaan kanak-kanak atau remaja? Kanak-kanak berjiwa halus dan mudah dipengaruhi dan terpengaruh dengan cakap-cakap orang lain. Pada mereka pandangan orang lain terhadap mereka itu adalah betul. Kalau buruk, buruklah. Kalau cantik, cantiklah.

Kanak-kanak atau remaja kisahkah dengan penampilan mereka? Ya, dalam peringkat usia sebegini, mereka hanya boleh menerima pujian bukan kejian. Kejian adalah penolakkan yang teruk untuk mereka bercampur dengan kawan-kawan lain.

Kesan kepada seorang kanak-kanak yang belum boleh berfikir matang, tentulah fikiran dan emosinya terganggu. Kalau dibuli oleh rakan sekolah lagi teruk. Mungkin dia tidak mahu ke sekolah kerana malu atau merasa rendah diri sehinggakan tidak mahu bercampur dengan sesiapa.

Berdasarkan satu kajian oleh sebuah syarikat telekomunikasi di negara ini, pada tahun lalu, sebanyak 20.5 peratus kanak-kanak sekolah mengatakan mereka dibuli dalam talian manakala 42.1 peratus mengaku tahu siapa dalam kalangan mereka dibuli

Berapa ramai ibu bapa sedar wujudnya buli siber? Iyalah, ibu bapa lebih sibukkan nak berswafoto, kongsi resipi, tunjuk makan apa, akaun media sosial anak tak berapa ambil tahu.

Dan berapa ramai yang membenarkan anak membuka akaun media sosial pada usia-usia tertentu. Berapa ramai juga menasihatkan anak-anak jangan komen bukan-bukan pada kawan-kawan?

Mereka harus dididik agar tidak memberi komen yang mengguris hati tidak kiralah terhadap sesiapa pun. Tetapi iyalah kan, kadang-kadang orang dewasa pun ibaratnya macam mengajar ketam berjalan. Jalan pun senget, nak mengajar anak-anak berjalan lurus. Sendiri punya bahasa dalam media sosial pun boleh tahan berapi-api dan sarkastiknya, macam manalah budak-budak tak mengikut.

Tetapi bagi saya, buli siber boleh saja dihalang jika ibu bapa pantau dan bercakap dengan anak-anak mengenai rangkaian media sosial mana yang boleh dilayari oleh mereka. Jangan biarkan mereka bebas melayari laman sosial yang tidak sesuai dengan usia mereka. Nanti jadi kes lain pula.

Kes seorang budak berusia 12 tahun ditahan polis di Batu Gajah, Perak baru-baru ini kerana dipercayai merogol seorang budak berusia empat tahun akibat melayari laman web lucah dalam usia sebegitu dalam telefon pintar, menunjukkan betapa pemantauan ibu bapa amat perlu, bukan sekadar memenuhi rengekan anak, mahu telefon dan biarkan mereka bermain dengan gajet tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini