WASHINGTON -Zinedine Zidane menghamburkan pujian terhadap prestasi Gareth Bale yang mencetak gol ketika menentang Arsenal, namun menegaskan prestasinya itu tidak akan mengubah apa-apa berhubung nasibnya di Real Madrid.
Bale yang dimasukkan sebagai pemain gantian berjaya mencetuskan kebangkitan Madrid yang di ambang kekalahan apabila ketinggalan 0-2 dalam separuh masa pertama.
Namun, pemain Wales itu berjaya merapatkan jurang sebelum Marco Asensio menyamakan kedudukan 2-2 pada aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019, seterusnya melakar kemenangan 3-2 dalam penentuan penalti di Amerika Syarikat (AS), pagi tadi.
Bayern Munich dilaporkan turut berminat mendapatkan Bale namun dia melakukan penampilan mengejut di Maryland walaupun Zidane mendakwa khidmat pemain berusia 30 tahun itu sudah tidak diperlukan lagi di Santiago Bernabeu.
“Dia (Bale) mempamerkan aksi yang baik dan saya gembira untuknya.
“Selagi dia bersama pasukan dan kita akan terus bekerjasama. Kita bermain dengan baik ketika beraksi dengan 10 pemain menentang 11 pemain dan semakin bagus dalam situasi 10 lawan 10.
“Saya tidak pasti apa yang akan berlaku, dia mahu bermain dan pada hari yang lain, tidak.
“Saya tidak bercakap dengannya, dia telah berlatih secara normal dan itulah sebabnya dia diturunkan. Tiada yang berubah, anda tahu situasi seperti ini,” katanya.
Bale mencuri tumpuan dalam babak kedua di FedEx Field di mana Marco Asensio juga mempamerkan prestasi mengagumkan sebelum terpaksa diusung keluar ekoran kecederaan lutut.
Asensio yang masuk sebagai pemain gantian menyamakan kedudukan tiga minit selepas Bale mengurangkan defisit gol pada minit ke-56 sambil The Gunners kehilangan Sokratis Papastathopoulos ekoran mengutip kad kuning kedua ketika menuju waktu rehat.
“Ia agak membimbangkan. Semoga dia tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius dan akan terus berada di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Ia kelihatan agak buruk,” ujarnya. – AGENSI











