Cantik dan mendamaikan. Itu yang diungkapkan tatkala mata tertancap pada ruang tamu kediaman milik Nur Khalidah Mohamed Rosli,32, yang dihias indah berkonsepkan resort percutian.
Ruang tamu kediaman itu mempunyai tatarias minimalis bertemakan kayu sekali gus membangkitkan aura positif yang tenang dan mendamaikan.
Seorang yang menggemari percutian, Nur Khalidah berkata, konsep itu terilham apabila dia melihat dekorasi indah resort percutian ketika bercuti bersama suami dan keluarga.
“Saya suka bercuti tetapi jarang dapat pergi kerana suami agak sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang doktor di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menata rias sendiri kediaman seperti sebuah resort untuk sentiasa merasai suasana percutian itu di rumah,” ujarnya kepada Mega Rona.
Menurutnya, penggunaan perabot kayu memainkan peranan penting dalam membangkitkan mood resort yang bercirikan alami dan klasik dalam rekaan hiasan dalaman kediaman berkenaan.
Oleh itu katanya, rak televisyen, meja makan, hiasan dinding dan kabinet dapur yang digunakan adalah daripada material berasaskan kayu untuk melengkapi gaya hiasan bertemakan resort.
“Bagi lantai pula, saya menggunakan vinyl dengan corak bermotifkan kayu untuk melengkapkan dekorasi berasaskan kayu dan dipasang di kawasan ruang tamu, laluan ke bilik dan ruang dapur.
“Vinyl ini, saya beli dengan modal RM500 hingga RM600 untuk seluruh ruang ini. Saya dapat menjimatkan kos vinyl lantai dengan memasang dan melekatkannya sendiri,” katanya.
Selain itu jelasnya, penggunaan warna pada dinding juga memainkan peranan penting untuk menaikkan seri dan memberikan suasana yang damai tatkala bersantai di ruang tamu.
Disebabkan itu, warna kelabu cerah menjadi pilihan untuk dipadankan bersama lantai yang bercorak kayu serta perabot kayu.
Ia diilhamkan daripada gaya Barat yang banyak menggunakan rona pastel atau pucat berbanding dengan warna-warna terang dan menyerlah untuk mewujudkan suasana yang ‘sejuk’ dan eksklusif dalam kondominium berkenaan.
Di samping itu, ia turut dilengkapkan dengan hiasan pokok-pokok hijau di beberapa kawasan seperti di atas meja makan, rak televisyen, tepi sofa dan ruang dapur untuk membangkitkan suasana segar dan ‘hidup’.
Melengkapkan lagi gaya resort di kondominium miliknya itu, Nur Khalidah turut menghias balkoni dengan pelbagai jenis pokok dan berlantaikan kayu.
Kos bagi keseluruhan hiasan balkoni itu hanya menelan belanja sekitar RM300 dan disusun mengikut kreativiti sendiri untuk kelihatan santai dan menarik.
Tambah Nur Khalidah, dia berpuas hati apabila suami dan anak-anak menyukai kerja kerasnya itu dan menerima dengan baik setiap perincian yang dilakukan sendiri untuk kediaman berkenaan.
“Suami sendiri terkejut dan tidak percaya saya boleh mendekorasi rumah sebegini rupa mengikut cita rasa saya sendiri.
“Malah, anak-anak juga suka dengan dekorasi ini. Anak-anak cerita kepada rakan-rakan bahawa rumah ini adalah hotel kerana suasananya yang begini,” ujarnya.











