JOHOR BAHRU 25 Julai – Tiada pelajar yang menjadi mangsa baharu pencemaran udara direkodkan di Pasir Gudang setakat pukul 1 petang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, sesi persekolahan pada hari ini semuanya berjalan lancar namun pihaknya terus melakukan pemantauan secara berterusan.
“Hanya semalam tujuh pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok yang mengalami simptom loya, muntah-muntah dan pening kepala serta mereka sudah pun mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang,” katanya mengulas perkembangan pencemaran udara di Pasir Gudang.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan Festival Permainan Tradisional dan Permainan Rakyat Negeri Johor Kali kelima 2019 di Yayasan Warisan Johor di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Johor, Zaifri Husin; Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan
Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Yasman Jamsir dan Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Kamarudin Abdul Razak.
Dalam majlis berkenaan, Mohd. Khuzzan menyerahkan dana berjumlah RM80,000 kepada pejabat-pejabat pendidikan daerah bagi penganjuran festival
tersebut bagi peringkat daerah sebelum memilih wakil-wakil daerah ke kemuncaknya pada 15 September ini.
Apabila ditanya mengenai bila kerajaan negeri akan melakukan pengumuman Pasir Gudang sudah bebas daripada pencemaran udara, beliau berkata, perkara itu akan dilakukan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) apabila semuanya pulih. – UTUSAN ONLINE











