JOHOR BAHRU 23 Julai – Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala ibu serta dua adik- beradiknya cedera selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah bas dalam kemalangan di Km 20 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun yang merupakan penumpang hadapan kenderaan berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan pada kira-kira 4.10 petang itu berlaku ketika kereta Proton Saga dinaiki kesemua mangsa dari arah Gelang Patah menghala ke Mutiara Rini itu sedang membelok ke kanan pada lampu isyarat merah sebelum dirempuh pada bahagian kiri oleh bas yang bergerak lurus dari arah Mutiara Rini menghala ke Gelang Patah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, ekoran kemalangan tersebut, kereta berkenaan mengalami kerosakan di bahagian pintu hadapan dan belakang kiri manakala bas jenis Nissan itu pula rosak di bahagian hadapan kiri.
Beliau berkata, kanak-kanak lelaki tersebut bersama dua adik perempuannya yang berumur tujuh dan sembilan tahun dihantar ke Hospital Columbia Asia, di sini, sebelum kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia di hospital berkenaan pada 4.45 petang ketika rawatan.
Katanya, ibu mereka yang berumur 43 tahun cedera ringan di bahagian peha kanan manakala pemandu bas iaitu seorang lelaki berumur 43 tahun, tidak cedera.
Kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. – BERNAMA











