Kampung Kuala Koh diisytihar selamat - Utusan Malaysia

Kampung Kuala Koh diisytihar selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 7 Julai – Selepas 26 hari diisytihar sebagai zon merah, kawasan perkampungan Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini akan dibebaskan daripada status tersebut bermula pagi esok.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gua Musang di Pejabat Tanah dan Jajahan di sini hari ini.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan daerah bahawa Kampung Kuala Koh sudah diisytiharkan selamat daripada jangkitan penyakit demam campak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kawalan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan menjaga laluan di Aring 10 ke Kampung Kuala Koh akan dihentikan bermula pukul 8 pagi esok.

“Kita sudah memaklumkan perkara itu kepada semua agensi terbabit dan zon merah bakal ditamatkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, insiden 15 kematian penduduk akibat krisis kesihatan sebelum ini menyebabkan penduduk Orang Asli dihadkan pergerakan mereka bagi mengelakkan penyakit berjangkit itu menular secara meluas.

Katanya, orang ramai juga tidak dibenarkan memasuki kampung itu sejak 12 Jun lalu kecuali mendapat kebenaran terlebih dahulu.

“Bermula pagi esok penamatan zon merah itu akan memberi kemudahan kepada semua pihak untuk membantu kaum terbabit.

“Saya difahamkan banyak badan sukarela akan masuk ke kampung berkenaan untuk mengadakan program gotong-royong membersihkan rumah dan kampung Orang Asli,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini