PALANGKARAYA 26 Julai – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan Gabenor Kalimantan Tengah (Kalteng), Sugianto Sabran telah mengadakan pertemuan untuk membincangkan mengenai pemilihan wilayah itu sebagai calon ibu negara baharu Indonesia.
Lapor Republika memetik Sugianto sebagai berkata, pihaknya telah menyediakan tanah seluas 300 hingga 500 hektar berbentuk segi tiga di antara Kota Palangkaraya, daerah Katingan dan daerah Gunung Mas.
“Kami bersedia, paling penting sekiranya Presiden sudah membuat keputusan, kami telah bersedia. Semuanya siap,” kata Sugianto dalam sesi wawancara khas dengan Republika di Istana Isen Mulang (IIM) dekat sini.
Namun menurut beliau, kerajaan tempatan Kalteng hanya boleh menunggu keputusan akhir dari Jokowi untuk memilih sama ada Kalimantan Selatan, Kalimantan Timur atau Kalteng sebagai ibu negara baharu Indonesia.
“Tetapi kalau melihat dari segi sejarah, (bekas Presiden) Seokarno telah menetapkannya pada 1957, jadi semestinya Kalteng akan menjadi ibu kota baharu pada masa depan,” jelasnya.
Oleh itu, Sugianto telah bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
Jelas beliau, walaupun Kalteng tidak dipilih, masyarakat Dayak di wilayah berkenaan akan kekal setia.
“Jika terpilih, kami bersyukur. Jika tidak, kami harus terus membangun. Kita perlu optimis,” katanya.











