PUTRAJAYA 26 Julai – Meskipun terdapat peningkatan harga pada bulan lalu, kadar inflasi untuk enam bulan pertama tahun ini masih kekal pada 0.2 peratus tahun-ke-tahun.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini menjawab kebimbangan tentang kemungkinan deflasi apabila indeks harga pengguna telah menurun sebanyak 0.7 peratus dan 0.4 peratus tahun-ke-tahun masing-masing untuk Januari dan Februari lalu sebelum meningkat 0.2 peratus tahun-ke-tahun setiap bulan untuk Mac, April dan Mei.
Selain penggantian cukai barang dan perkhidmatan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), menurutnya, pengurangan paras siling harga runcit untuk RON95 daripada RM2.20 seliter kepada RM2.08 seliter telah membantu mengurangkan kadar inflasi dan meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
“Pengutamaan pertumbuhan ekonomi mampan dapat memastikan kejayaan mencapai sasaran kemakmuran bersama setelah kebimbangan berlakunya deflasi reda apabila kadar inflasi Malaysia untuk Jun lalu meningkat kepada 1.5 peratus tahun-ke-tahun daripada 0.2 peratus untuk Mei lalu.
“Peningkatan dalam indeks harga pengguna untuk bulan Jun lalu sebanyak 1.5 peratus tahun-ke-tahun juga disebabkan oleh perubahan dalam rejim percukaian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Guan Eng, kadar inflasi yang secara amnya rendah dan stabil berlaku semasa ekonomi sedang berkembang mapan.
Sementara itu tambahnya, kadar pertumbuhan indeks pertumbuhan perindustrian Malaysia telah berkembang lebih daripada konsensus pasaran untuk bulan ketiga secara berturut-turut sedangkan pada Mei 2019, ia telah berkembang 4.0 peratus tahun-ke-tahun mengatasi unjuran pasaran sebanyak 3.5 peratus tahun-ke-tahun seperti dilaporkan oleh Bloomberg.
“Eksport untuk bulan Mei lalu telah meningkat 2.5 peratus tahun-ke-tahun, yang juga melebihi jangkaan pasaran. Jualan borong dan runcit meningkat 5.6 peratus dan 8.2 peratus tahun-ke-tahun masing-masing untuk tempoh Januari hingga Mei 2019.
“Tambahan lagi, jualan kenderaan untuk lima bulan pertama 2019 meningkat 13 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menunjukkan bahawa terdapat pertumbuhan permintaan domestik yang sihat untuk separuh pertama tahun ini,” katanya.
Jelasnya, petunjuk-petunjuk itu mengisyaratkan bahawa pertumbuhan suku kedua keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah menggalakkan setelah ekonomi Malaysia berkembang dengan mampan sebanyak 4.5 peratus tahun-ke-tahun untuk suku pertama 2019.
Beliau berkata, kerajaan positif tentang prospek perkembangan ekonomi yang mampan untuk suku kedua dan pada masa sama, Bank Dunia mengunjurkan KDNK Malaysia akan berkembang sebanyak 4.6 peratus untuk 2019.
“Kerajaan akan terus mengutamakan perkembangan ekonomi dan mempertimbangkan belanjawan pengembangan demi memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat dan mencapai sasaran ekonomi iaitu kemakmuran bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE











