K- Shoppe bimbing usahawan - Utusan Malaysia

K- Shoppe bimbing usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu daripada pendekatan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam melahirkan usahawan berkaitan pertanian adalah pembukaan outlet di kawasan terpilih. Ini membolehkan pengusaha atau peniaga mendekati pelanggan di mana-mana lokasi terpilih antara tapak pasar tani yang diwujudkan agensi berkenaan.

Salah satu konsep adalah Agrobazaar K-Shoppe Kopiesatu yang telah menjadi satu jenama popular sejak diperkenalkan pada 2011.

Agrobazaar K-Shoppe Kopiesatu merupakan outlet runcit dan mini kafe yang bertindak sebagai outlet jualan setempat dan promosi bagi produk makanan dan minuman secara dalam dan luar talian untuk produk Kopiesatu dan produk usahawan di bawah bimbingan FAMA.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pembelian produk runcit boleh dibuat secara atas dan luar talian melalui portal Agrobazaar Online yang di kendalikan sepenuhnya oleh FAMA manakala Agrobazaar K-Shoppe Kopiesatu bertindak sebagai hab bagi pengumpulan dan jualan produk usahawan terbabit.

Outlet ini bertindak sebagai pusat yang memberikan latihan kepada usahawan Agropreneur dalam menjalankan perniagaan peruncitan dan makanan dan minuman (F&B) menerusi program usahawan perintis Kopiesatu.

Pembukaan outlet itu juga memberi peluang dan ruang kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka.

Ia juga merupakan medan pengumpulan dan pusat jualan setempat bagi produk usahawan serta bertindak sebagai pusat promosi dan pengedaran produk usahawan PKS.

FAMA juga sebelum ini memperkenalkan konsep jualan secara bergerak minuman kopi berjenama Kopiesatu menggunakan kenderaan sajian makanan (food truck).

Seorang usahawan Kopiesatu yang sedang giat dalam perniagaan tersebut mengakui tertarik dengan konsep perniagaan mudah alih yang datang mencari pelanggan.

Hanif Razalee yang terlibat dalam perniagaan tersebut sejak 2017 memberitahu, konsep tersebut membantunya kerana FAMA memberinya peluang berniaga di tapak pasar tani.

Dia yang memulakan perniagaan tersebut dengan modal RM150,000 mampu menjual antara 30 hingga 70 cawan kopi sehari pada hari biasa dan boleh meningkat kepada antara 70 hingga 100 cawan pada hujung minggu.

“Konsep ini memudahkan untuk berniaga dan saya memang berpuas hati,” ujarnya yang berniaga di tapak pasar tani sekitar Putrajaya, Kota Warisan, Stadium Shah Alam dan Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Kopiesatu menawarkan harga berpatutan dengan konsep perniagaan makanan yang sesuai.

“Saya mencadangkan mereka yang berminat supaya menghadiri beberapa kursus terlebih dahulu selain mempunyai modal,” ujarnya.

Sementara itu menurut Pengurus Besar MyKopiesatu Sdn. Bhd. (MKSB), Wan Faizatul Aniza Ismayatim, setakat Jun lalu terdapat 4,399 usahawan bimbingan yang terlibat dengan program tersebut melibatkan sebanyak 205 outlet K- Shoppe dan dua buah outlet K-Shoppe Kopiesatu.

“Jenis produk yang dijual adalah yang sedia dimakan seperti pastri, roti sandwic, kek, produk proses dan keperluan harian lain,’’ ujarnya.

Beliau menyarankan mereka yang berminat menjadi usahawan supaya merebut peluang dan kemudahan yang ditawarkan.

Mereka yang terpilih katanya, akan menerima bantuan perniagaan daripada FAMA sebanyak RM15,000 berupa peralatan perniagaan sebagai modal permulaan.

Katanya, bantuan yang disediakan adalah dalam bentuk peralatan seperti papan tanda, rak, cat, bahan promosi, pendaftaran tunai (cash register), pemanas, pendingin (chiller) dan penyejuk beku (freezer) mengikut keperluan utama usahawan.

Mengenai cabaran yang dihadapi Wan Faizatul berkata, pihaknya sentiasa mencari jalan untuk menjadikan produk yang dibekalkan usahawan lebih tahan lama, kaedah penyimpanan produk yang sesuai dan promosi untuk mencapai nilai jualan yangg disasarkan selain terma transaksi yang baik.

Beliau menganggarkan bilangan usahawan dan kedai jenama tersebut akan meningkat dan mereka yang dilatih selama enam bulan.

Pihaknya menyasarkan pembukaan sehingga 32 outlet baharu pada tahun ini di bawah FAMA serta tiga outlet Kopiesatu.

Program Agrobazaar K-Shoppe Kopiesatu yang berkonsepkan jualan industri asas tani (IAT) dan Café yang menyediakan produk-produk proses untuk jualan serta produk yang akan disediakan di premis untuk jualan.

Kopiesatu boleh dianggap menarik sesuai dengan objektifnya iaitu menjadi peneraju bagi usahawan kecil dan sederhana dalam industri berkaitan kopi.

Program tersebut juga bertujuan memenuhi pemintaan dalam usaha memajukan industri kopi dan membantu mempromosikan industri asas tani. Pada masa sama program tesebut dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kopi jenama Malaysia yang berkualiti tinggi.

Selain itu, FAMA sebelum ini memperkenalkan MyKopie berperanan membangunkan usahawan MyAgrosis dalam rangkaian institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dan usahawan muda di pasaran terbuka Malaysia.

Terdapat dua pakej perniagaan yang ditawarkan oleh MyKopie iaitu Kiosk Lipat dan Kiosk Mudah Alih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini