Juruwang rugi RM64,545 ditipu sindiket Love Scam  - Utusan Malaysia

Juruwang rugi RM64,545 ditipu sindiket Love Scam 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 25 Julai – Seorang juruwang wanita di sini kerugian sebanyak RM64,545 selepas dipercayai ditipu sindiket Love Scam baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa pada mulanya berkenalan dengan individu menerusi laman sosial Facebook yang dipercayai berasal dari Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu. 

Katanya, mangsa kemudian dikatakan menerima WhatsApp dari kenalan berkenalan mengatakan telah menghantar hadiah berupa emas 24 karat beserta wang tunai USD$40,000 (RM164,740) melalui kurier sebagai tanda persahabatan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selang dua hari kemudian, mangsa telah dihubungi oleh ejen kurier dari Johor menyatakan barangan daripada kenalan mangsa telah sampai dan memintanya membuat bayaran kos pengangkutan sebanyak RM2,700,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian bersetuju membuat pembayaran itu dah dijanjikan akan mendapat barang tersebut dalam tempoh seminggu.

Bagaimanapun, katanya, mangsa dimaklumkan terdapat masalah pelepasan barang itu dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan diminta membuat pembayaran bagi tujuan tersebut.

“Mangsa telah membuat enam lagi transaksi pindahan deposit tunai di bank sekitar Butterworth sebanyak RM64,545 ke dalam satu akaun bank tempatan namun masih diminta untuk membuat tambahan bayaran,” katanya.

Tambahnya, mangsa berasa tertipu dengan ejen tersebut setelah pelbagai alasan diberikan ketika bertanyakan mengenai barang tersebut yang belum diterima sebelum membuat laporan polis.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini