PADA 1 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen (termasuk pembangkang) mengisytiharkan harta masing-masing. Usul mengenai isu ini, dikemukakan oleh Datuk Liew Vui Keong (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan disokong oleh Dr. Xavier Jayakumar (Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli), diluluskan selepas dibahaskan oleh 26 ahli Parlimen.
Selepas Vui Keong menggulung usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md. Yusof memaklumkan dewan bahawa usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk ahli Parlimen pembangkang.
Berasaskan usul itu, semua ahli Parlimen perlu mengisytiharkan harta mereka (termasuk harta isteri atau suami, anak serta pemegang amanah) dalam satu akuan berkanun. Akuan berkanun itu hendaklah dikemukakan dalam tempoh tiga bulan dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Senarai nama ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta mereka akan dipaparkan dalam portal SPRM. Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk tindakan seterusnya.
Sekiranya ahli Parlimen membuat perakuan tidak benar, perbuatan itu menjadi kesalahan dan satu prosiding jenayah boleh dijalankan ke atasnya. Bagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, idea pengisytiharan harta yang diusulkan kerajaan adalah teori komunis dan sosialis.
Beliau juga mendakwa DAP telah mempengaruhi kerajaan untuk melaksanakan peraturan baharu yang mewajibkan setiap ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.
Menolak kenyataan Hadi itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah membaca buku Das Kapital (karya Karl Marx), namun tidak menjumpai maklumat seperti dikatakan oleh pemimpin Pas tersebut.
Pada 1 November 2018, lalu, SPRM menyiarkan perisytiharan harta oleh 47 ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah. Antara individu yang mengisytiharkan harta mereka dalam senarai SPRM itu adalah Lim Guan Eng, Saifuddin Nasution, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Tetapi masih ramai lagi yang belum berbuat demikian. Jika perisytiharan harta dahulu adalah sukarela, mulai sekarang ia menjadi satu kewajipan bagi semua ahli Parlimen.
Dalam satu dokumen setebal 152 halaman bertajuk Asset Declarations for Public Officials terbitan OECD (Organization for Economic Co-operation and Development, satu pertubuhan dianggotai oleh 34 negara), Setiausaha Agung pertubuhan itu berkata, perisytiharan harta oleh seorang ‘pegawai awam’ merupakan satu alat untuk menghalang rasuah (a tool to prevent corruption).
Dokumen itu menyatakan, antara matlamat penting dasar isytihar harta adalah meningkatkan ketelusan dan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran awam (lihat http://www.oecd.org/corruption/anti-bribery/47489446.pdf).
Sebuah portal luar negara mengenai isu perisytiharan harta (www.right2info.org) ada memetik hasil satu kajian oleh Bank Dunia pada 2012 di mana dinyatakan sebanyak 137 negara telah melaksanakan sistem pendedahan kewangan (financial disclosure systems).
Daripada jumlah ini, kebanyakannya (93%) menghendaki ahli Parlimen dan pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta mereka. Walau bagaimanapun, tidak sampai separuh (43%) yang mengizinkan orang awam atau rakyat biasa mendapatkan akses (mengetahui) maklumat yang diisytiharkan.
Ini bermakna dasar dan undang-undang perisytiharan harta adalah bagi tujuan tertentu kerajaan – iaitu membanteras rasuah, menghalang salah guna kuasa dan mengelakkan berlaku konflik kepentingan.
Perisytiharan ini sama sekali tidak menjejaskan hak privasi individu berkenaan kerana maklumat sensitif peribadinya masih tidak boleh diketahui oleh orang awam. Soalnya apakah perkara ini telah diberi perhatian oleh kerajaan semasa membentang usul minggu lalu?
Keperluan mengimbangi kewajipan dan hak ini (iaitu kewajipan mengisytiharkan harta dengan hak privasi diri individu) ditegaskan secara khusus dalam undang-undang berkenaan di Kanada. Diluluskan pada 1999, undang-undang negara itu menghendaki pegawai awam, menteri, ahli Parlimen, serta pegawai Royal Canadian Mounted Police (RCMP) mengisytiharkan harta masing-masing.
Bagaimanapun, undang-undang Kanada itu membezakan antara harta atau aset yang mesti diisytiharkan dengan harta lain yang masih boleh dirahsiakan oleh pemiliknya.
Soalnya apakah undang-undang negara kita kini ada membuat pendekatan yang serupa? Jika undang-undang sedemikian belum ada, apakah ia akan digubal pada masa depan?
Kesimpulannya, sementara kita sambut baik usul isytihar harta yang diluluskan minggu lalu, ada lagi beberapa isu penting yang terus menjadi tanda tanya.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.











