“ISLAM membuatkan saya berasa lebih tenang.” Perasaan itu dikongsi pelajar pertukaran Mobiliti Antarabangsa, Universiti Malaya (UM) dari Madagaskar, Ny Aina Merryl Raharinarivonirina, 23, ketika ditanya tentang niatnya memeluk Islam pada April lalu.
Dia yang kini dikenali sebagai Nur Aina berkata, kehidupannya dikelilingi rakan beragama Islam sepanjang di Malaysia membolehkannya mengenali agama suci itu setahun lalu.
Nur Aina turut mengakui keputusan untuk memeluk Islam merupakan pilihan tepat kerana ia memberi perubahan positif buat dirinya.
“Saya mula solat dan bertudung. Saya berasa tenang apabila mendalami agama Islam dan alhamdulillah, kini saya berasa lebih baik dan teruja setelah bertukar agama.
“Malah, saya juga sudah berpuasa selama sebulan bersama rakan-rakan Muslim yang lain. Saya turut berpeluang ikut rakan balik kampung menyambut Aidilfitri lalu,” katanya yang memeluk Islam pada hari kelahirannya.
Ketika ditanya tentang cabaran sebagai mualaf, dia mengakui agak risau apabila kepulangannya ke universiti asalnya di Institute National Des Langues et cultures orientales (Inalco), Perancis kelak akan menimbulkan fitnah kerana berbeza agama.
“Di sana hanya 10 peratus beragama Islam dan sekiranya saya memakai tudung pasti menimbulkan rasa kurang senang orang lain,” katanya ketika ditemui dalam Program Diskusi Dari Madagaskar ke Malaysia di Perpustakaan Akademi Pengajian Melayu UM, baru-baru ini.
Nur Aina juga berharap keluarganya akan menerima keputusannya memeluk Islam dengan hati terbuka.
FASIH BERBAHASA MELAYU
Lebih membanggakan, Nur Aina turut mampu memahami dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik.
“Saya mula meminati bahasa Melayu ketika bercuti ke Malaysia bersama rakan-rakan dua tahun lalu. Jadi, saya mula berkenalan dengan rakan-rakan Melayu dalam Facebook untuk mengenali lebih dekat tentang bahasa ini.
“Saya boleh berbahasa Melayu dan menyukai kebudayaan serta sejarah Melayu kerana keunikannya. Kini, saya fasih bertutur dalam bahasa Melayu bersama rakan-rakan di Malaysia,” katanya.
Nur Aina yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Falsafah dari Pantheon Sorbonne University, Perancis kini melanjutkan pengajian ijazah kedua dalam bidang bahasa Indonesia di Inalco.
“Terdapat perbezaan loghat bahasa Indonesia dan Melayu. Saya agak sukar untuk bertutur dalam bahasa Indonesia, sebaliknya bahasa Melayu lebih mudah untuk dipelajari,” ujarnya.
Dia yang fasih enam bahasa termasuk Inggeris, Malagasi, Perancis dan Jepun memilih UM kerana ada kerjasama untuk pertukaran pelajar dengan Inalco.
“Selain itu, saya turut mengenali UM kerana antara Universiti yang berada pada ranking tertinggi dan mempunyai kursus Bahasa Melayu.
“Saya juga berpeluang mengikuti kelas Bahasa Melayu dan sejarah dengan lebih dekat dan menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan semasa berada di sini,” katanya.
TERBIT BUKU
Sebelum menamatkan program pertukaran pertengahan Julai ini, Nur Aina turut ‘menghadiahkan’ buah tangan buku asas perbualan Malagasi-Melayu bagi mereka yang mahu mendalami bahasa Madagaskar.
“Buku perbualan tu merupakan projek bersama pertubuhan bukan kerajaan untuk menerbitkan kamus Bahasa Malagasi-Melayu bagi memberi peluang kepada orang ramai mempelajari bahasa Malagasi.
“Sebelum ini pernah tercetus hendak membuat buku travelog, namun kekangan masa di universiti menyebabkan saya hanya sempat menyediakan kamus sebelum pulang ke Perancis,” katanya.
Bagi mereka yang berminat mendapatkan Kamus Malagasi-Melayu boleh menghubungi Facebook; Group Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) dengan harga RM33 senaskhah.











