KOTA KINABALU 24 Julai – Kerajaan Sabah menyokong inisiatif Satu Jalur Satu Laluan (OBOR) yang diterajui China yang dilihat berpotensi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri tersebut.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghadiri Sidang Kemuncak Jajaran dan Laluan Kali Kedua di Beijing pada April lepas, juga telah menyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap inisiatif tersebut yang memberi manfaat kepada negara ini.
“Saya juga percaya inisiatif itu akan turut memberi impak positif terhadap rantau ini.
“Oleh itu saya berharap pihak Dewan Perniagaan Cina Sabah (SCCC) akan dapat menganjurkan lebih banyak program yang mengetengahkan pandangan serta input membabitkan projek OBOR ini supaya kita meraih manfaat penuh daripadanya,” katanya pada majlis angkat sumpah ahli jawatankuasa baharu SCCC di sini, malam tadi.
Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong.
Mengulas selanjutnya, Mohd Shafie berkata China juga sentiasa menjadi rakan Malaysia dan Sabah dan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan meningkat 13 peratus kepada RM443 bilion pada 2018 berbanding RM392 bilion pada 2017.
Sehubungan itu, katanya, Sabah akan terus menawarkan peluang perniagaan kepada pelabur terutamanya dari China.
“Saya ingin menggesa SCCC untuk memainkan peranan membantu kerajaan negeri menarik lebih banyak pelaburan dari China dalam usaha merangsangkan lagi ekonomi.
“Kerajaan juga akan memberi pertimbangan serius kepada mana-mana cadangan pelaburan yang dikemukakan melalui SCCC, kerana saya yakin ini dapat memainkan peranan demi kepentingan semua pihak terbabit,” katanya.
Mohd Shafie berkata, SCCC juga boleh memainkan peranan bagi mengukuhkan hubungan dua hala Sabah-China dalam merangsang ekonomi negeri.
“Atas alasan itu, kerajaan negeri bersedia memberi bantuan sewajarnya bagi memenuhi agenda pembangunan Sabah,” katanya. – BERNAMA











