SEBUAH iklan aiskrim baharu Baskin-Robbins yang ditayangkan di Korea Selatan telah mengundang kontroversi dan kritikan penduduk negara tersebut sehingga memaksa ia ditarik balik daripada ditayangkan di televisyen.
Iklan berdurasi 30 saat itu ditayangkan pada 28 Jun lalu itu tetapi dikritik kerana memaparkan penampilan seorang model kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun bernama Ella Gross yang didapati tidak sesuai dengan usianya.
Sejak iklan itu dilancarkan, warga Korea Selatan telah memberikan pandangan bahawa penampilan model kanak-kanak tersebut kurang sesuai berdasarkan solekan, pakaian dan gayanya yang dianggap memberi gambaran seksual.
Kontroversi mula tercetus apabila kebanyakan komen mengkritik reaksi wajah dan gaya model kanak-kanak itu yang dikatakan agak keterlaluan sehingga boleh mengundang gambaran seksualiti masyarakat di negara tersebut.
Ekoran kontroversi yang tercetus itu, pihak Baskin-Robbins telah menarik semula tayangan iklan tersebut dan memohon maaf kepada netizen di Korea Selatan.
Dalam satu kenyataan kepada akhbar berbahasa Inggeris, Korea Times, Baskin-Robbins mengatakan bahawa pihaknya telah mendandani Gross dengan solekan sederhana sesuai dengan usianya dan juga memakaikan pakaian daripada jenama khusus untuk kanak-kanak.
Gross yang dilahirkan pada tahun 2008 pernah menjadi viral sebelum ini kerana memiliki wajah yang cantik dan dikatakan mirip seperti salah seorang anggota kumpulan popular, Blackpink iaitu Jennie.











