MADRID 23 Julai – Eden Hazard menegaskan bahawa sangat penting untuk Real Madrid menjulang trofi kejuaraan setiap musim dengan bintang Belgium itu sudah mula mencongak kejuaraan bagi musim 2019-20.
Hazard meninggalkan Chelsea bagi menyertai Madrid pada musim cuti selepas gergasi La Liga itu berdepan musim sukar.
Madrid menamatkan saingan di kedudukan ketiga di belakang Barcelona dalam saingan La Liga selain tersingkir dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara dan separuh akhir Copa del Rey.
Hazard yang mengetuai Chelsea merangkul kejuaraan Liga Europa musim lalu faham kepentingan kejuaraan di Santiago Bernebue.
“Apabila awak bersama Real Madrid, awak perlu menang sesuatu setiap musim. Awak perlu menang.
“Jika awak tidak menang Liga Juara-Juara, penyokong akan kecewa dan mereka mengharapkan kejuaraan.
“Di kelab ini, awak sentiasa mahu menang dan atas sebab itu saya berada di sini.
“Saya mahu bermain, menjaringkan gol dan pada penghujung musim, menjulang piala,” katanya.
Hazard membuat penampilan sulung bersama Madrid, minggu lalu ketika tewas 1-3 kepada Bayern Munich dalam aksi Piala Kejuaraan Antarabangsa.-AGENSI











