Hanya selangkah lagi - Durokovic - Utusan Malaysia

Hanya selangkah lagi – Durokovic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kali terakhir Mehmet Durakovic menjulang Piala FA adalah 22 tahun lalu ketika dia menyarung jersi Selangor dan pertemuan final menentang Kedah, esok pastinya mempunyai nilai sentimental tersendiri buat jurulatih Perak itu apabila sekali lagi berpeluang memenanginya tetapi sebagai jurulatih.

Lebih menarik, Perak juga mahu menamatkan kemarau Piala FA selepas kali terakhir memenanginya pada 2004 dan semuanya bakal terjawab apabila kedua-dua pasukan tersebut bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Bagaimanapun, Mehmet yang pernah membantu Perak menjuarai Piala Malaysia pada tahun lalu berkata, bukan mudah untuk dia menewaskan Kedah meskipun mereka turun beraksi tanpa tonggak, Renan Alves yang digantung perlawanan selepas mengutip kad merah ketika bertemu Felda United dalam aksi terakhir Liga Super.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Satu langkah sahaja lagi tetapi bukan mudah untuk melakukannya. Harapan yang diberikan kepada kami begitu tinggi, mana tidaknya, kali terakhir Perak memenangi Piala FA ialah 15 tahun lalu.

“Mengenai ketiadaan Renan, sudah tentu jurulatih Kedah sedih kerana tidak dapat menurunkan pemain yang diingini, tetapi saya percaya mereka ada pengganti yang boleh mengisi kekosongan tersebut,” kata Durakovic kepada pemberita dalam sidang akhbar menjelang perlawanan akhir Piala FA di Bukit Jalil, hari ini.

Pengendali dari Australia itu juga pernah mencipta sejarah sebelum ini apabila menjadi jurulatih import pertama yang memenangi Piala Malaysia bersama Selangor pada 2015, selepas menjuarai trofi yang sama ketika bergelar pemain Red Giants pada 1995, 1996 dan 1997.

Bercakap mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan esok, jurulatih berusia 53 tahun itu mengakui pening selepas mempunyai beberapa pilihan terutamanya di bahagian pertahanan.

“Pening juga saya nak pilih kesebelasan utama, esok begitupun saya percaya sesiapa yang diturunkan akan beraksi seperti mana kami bertemu Pahang (separuh akhir kedua) kami mungkin berpeluang memenangi Piala FA,” katanya lagi.

Kejayaan memenangi Piala FA bukan sahaja bakal menamatkan kemarau, namun, The Bos Gaurus juga berpeluang beraksi di peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Asia, musim depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini