PASIR MAS – Gara-gara mendakwa anak dimarahi anggota polis, seorang ibu ‘naik hantu’ dan mengamuk sehingga menimbul kekecohan di pejabat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, anggota polis wanita berpangkat koperal turut ditendang selain ditarik tudungnya oleh ibu berkenaan yang merupakan seorang guru.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, bagaimanapun anggota berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat tindakan luar kawalan itu.
Menurutnya, guru berkenaan bertindak demikian selepas berang mengetahui anaknya dimarahi oleh anggota trafik selepas terlibat dalam satu kemalangan.
“Bagaimanapun itu hanyalah dakwaan yang dibuat oleh wanita berkenaan.
“Hal ini kerana tiada saksi mendengar anaknya telah dimarahi,” katanya.
Abdullah memberitahu, suspek kemudian telah berjaya ditahan dan diselepaskan atas jaminan polis selepas segala keterangan direkodkan.
Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Saya ingatkan orang ramai supaya tidak bertindak diluar kawalan ketika berurusan di pejabat-pejabat awam,” ujarnya.
Katanya, tindakan luar kawalan itu boleh menyebabkan mereka berdepan hukuman jika disabitkan kesalahan.- K ONLINE











