KUALA LUMPUR 23 Julai – Kerana masalah kewangan, seorang guru sekolah rendah tergamak mengedar dadah sejak awal tahun ini.
Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 49 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan bersama isteri, 38, dan seorang lagi lelaki Indonesia pada pukul 11.10 pagi di hadapan restoran di pekan Selangau, Mukah, Sarawak, kelmarin.
Memetik laporan portal Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Jimmy Panyau berkata, tangkapan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah selepas kereta dinaiki tiga individu terbabit ditahan.
Ujarnya, anak pasangan itu masing-masing berusia 17 dan sembilan tahun yang turut menaiki kereta terbabit bagaimanapun dibebaskan.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah beg dalam kereta terbabit polis menjumpai dan merampas tiga peket plastik berisi dadah disyaki syabu.
“Siasatan awal mendapati, guru terbabit mengaku terlibat dalam pengedaran syabu secara kecil-kecilan sejak awal tahun ini di kawasan ladang sawit di Selangau dan Mukah disebabkan masalah kewangan dan suspek mengaku memperoleh bekalan dadah daripada seorang pengedar di Sibu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jimmy memaklumkan, keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah.
“Guru sekolah rendah di Selangau itu bersama isterinya dan lelaki warga Indonesia ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan.
“IPD Mukah memandang serius permasalahan dadah di bahagian Mukah dan membanteras kegiatan tersebut secara berterusan. Oleh itu, orang ramai diminta bekerjasama dan memberi maklumat kepada polis untuk menangani masalah dadah secara serius,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











