KUALA LUMPUR 24 Julai – Golongan muda dan profesional di negara harus digalakkan melakukan kerja-kerja bakti dan kesukarelawanan, kata Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sehubungan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, kempen-kempen berbentuk motivasi untuk memupuk minat orang ramai dalam tugas-tugas kesukarelawanan dan penyampaian mesej yang baik dalam melakukan kerja-kerja bakti, perlu dipertingkatkan.
Katanya, ini untuk menarik minat lebih ramai golongan masyarakat dalam melakukan kerja-kerja bakti dan amal.
“Sekiranya semangat untuk berbakti secara sukarela ini berjaya dipupuk dan dititik beratkan dalam diri setiap daripada kita, nescaya akan ringanlah pelbagai beban yang ditanggung masyarakat pada hari ini.
“Kerja-kerja bakti dan amal ini bukan sahaja dapat mempertingkatkan amalan kita, tetapi juga dapat memelihara kesihatan dan perhubungan kita sesama insan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis perasmian penutupan Karnival Perdana Briged Bakti Malaysia Remaja Peringkat Kebangsaan di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis ialah Presiden Briged Bakti Malaysia, Prof. Datuk Dr. Abdul Razak Kechik.
Karnival selama lima hari sejak Sabtu lalu itu disertai wakil-wakil Briged Bakti Malaysia Remaja 155 buah sekolah dari seluruh negara.
Tambah Wan Azizah, menerusi kerjasama erat dan padu seperti yang ditunjukkan oleh Briged Bakti Malaysia Remaja, ia akan menjadi contoh kepada badan-badan lain dalam usaha menyemai semangat kesukarelawanan.
Katanya, semua golongan masyarakat pada waktu ini kelihatan berminat menjadi sukarelawan daripada pelbagai peringkat usia sama ada secara individu, berkumpulan atau mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tanpa mengira fahaman politik, agama, bangsa, darjat dan keturunan. – UTUSAN ONLINE











