KUALA LUMPUR 24 Julai – Parti Gerakan bakal membariskan pemimpin muda sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Menurut Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, partinya kini mahu memberi fokus kepada orang muda selaras dengan perubahan usia untuk mengundi kepada 18 tahun seperti diluluskan Parlimen baru-baru ini.
“Kita anjur pelbagai program serta latihan khusus untuk mereka termasuklah kursus kemahiran komunikasi, debat dan sebagainya bersesuaian dengan tugas sebagai seorang wakil rakyat.
“Malah dalam Persidangan Perwakilan Gerakan (NDC) yang diadakan pada November nanti juga akan menfokuskan kepada dasar-dasar orang muda dalam memastikan parti kekal relevan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian dalam majlis ringkas meraikan pengamal media di ibu pejabat parti dengan menyediakan 100 kilogram durian pelbagai jenis untuk dinikmati antaranya Musang King, IOI dan D24 yang dibawa dari Raub, Pahang.
Dalam pada itu, tambah Dominic lagi, selaras dengan hasrat parti, Gerakan akan menganjurkan konvoi bermotosikal ’31 Ogos 2019 Ride for Merdeka Sempena Hari Kebangsaan ke-62′ bagi mendekati golongan muda.
“Kami sasarkan penyertaan konvoi sekurang-kurangnya 62 buah motosikal sempena 62 tahun kemerdekaan negara dan kami akan menjelajah dari lobi ibu pejabat ke seluruh Selangor pada 31 Ogos nanti.
“Kami akan mengedarkan Jalur Gemilang dan bendera Gerakan kepada penduduk tempatan khususnya orang muda di lokasi persinggahan yang akan ditentukan tidak lama lagi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











