PUTRAJAYA 23 Julai – Garis panduan penyeragaman pasar malam, harian dan tani di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan antara lima kertas kerja yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Kali Ke-74 yang berlangsung di sini hari ini.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak lima kertas kerja telah dibentangkan iaitu merangkumi tiga kertas pertimbangan dalam mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
“Berhubung garis panduan pasar malam, harian dan tani, kertas kerja ini membincangkan mengenai garis panduan yang akan dijadikan panduan seragam kepada PBT dalam menguruskan pasar di kawasan masing-masing dengan ia akan dapat memastikan pengurusan pasar oleh PBT di seluruh negara menjadi lebih seragam dan terurus.
“Selain itu, garis panduan ini dapat meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan efektif dan berterusan dapat dilaksanakan di peringkat PBT,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat tersebut juga menyentuh dua kertas kerja pertimbangan iaitu garis panduan kawalan nyamuk di kawasan PBT dan Pelan Tindakan Aksesibiliti Orang Kurang Upaya di bawah aspek fizikal untuk PBT oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Tambah kenyataan itu, dua kertas kerja makluman juga dibentangkan dalam mesyuarat sama iaitu bertajuk Dasar Komuniti Negara oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Pelan Tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk kerjasama Dengan PBT dalam aspek pembangunan perniagaan food truck di Malaysia.
“Mengenai pelan tindakan bagi pembangunan perniagaan food truck, ia memberi penekanan di dalam pembangunan perniagaan itu termasuklah penetapan lokasi perniagaan tetap, kawalan harga jualan makanan, latihan dan peningkatan perniagaan serta peranan organisasi pengurusan tapak perniagaan,” jelas kenyataan itu.
Pada masa sama, kenyataan itu menambah, penubuhan MNKT berfungsi sebagai pihak bertanggungjawab pembuat dasar serta penasihat mengenai hal-hal berkaitan dengan kerajaan tempatan khususnya daripada segi dasar-dasar, kawalan dan pembangunan.
“Mesyuarat ini turut dihadiri oleh menteri-menteri Kabinet, menteri-menteri besar dan Ketua-ketua menteri, ketua-ketua setiausaha kementerian serta ketua jabatan berkaitan,” jelas kenyataan itu lagi.-UTUSAN ONLINE











