Gangguan bekalan air sekitar JB pada 30 Julai ini - Utusan Malaysia

Gangguan bekalan air sekitar JB pada 30 Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 23 Julai – Kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Sungai Johor yang dijadualkan pada 30 Julai ini akan mengakibatkan kira-kira 170,000 akaun pengguna di sebahagian kawasan di bandar raya ini mengalami gangguan bekalan air bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kerja penyelenggaraan itu menyebabkan berlaku gangguan bekalan air bersih selama 23 jam bermula 10 pagi.

“Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah meluluskan permohonan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (Ranhill SAJ) untuk melakukan penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Sungai Johor pada Selasa depan. Proses ini menyebabkan kira-kira 170,000 akaun pengguna bakal terjejas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, para pengguna diminta tidak panik kerana ini merupakan penyelenggaraan rutin bagi memastikan kualiti pembekalan air bersih dapat terus dibekalkan kepada semua pengguna pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kawasan yang terjejas ialah Pusat Bandar Johor Bahru, Taman Ehsan Jaya, Taman Desa Jaya, Taman Desa Cemerlang, Taman Bukit Tropika, Taman Industri Gemilang, Taman Industri Tropika, Taman Johor Jaya, Taman Daya, Kempas, Bandar Baru Uda, Larkin, Taman Seroja, Taman Kobena, Taman Desa Rahmat dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah.

Turut terjejas ialah kawasan Skudai Kiri, Danga Bay, Taman Nong Chik, Taman Kebun Teh, Kampung Kurnia, Taman Melodies, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Stulang Baru, Taman Suria, Flat Sri Stanggi, Flat Serantau, Kampung Bakar Batu, Tanjung Puteri, Perumahan Rakyat Iskandar, Setia Tropika, dan Bukit Indah.

Wee Tse berkata, pengguna terlibat disaran untuk menyimpan air secukupnya bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan berlaku dan menggunakan air secara berhemah.

“Sebarang maklumat lanjut dan info terkini boleh didapati dalam laman sesawang www.ranhillsaj.com.my dan talian mesra 1 800 88 7474 atau SMS 019-7727474,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini