KUALA LUMPUR 23 Julai – Tujuh kawasan yang terjejas bekalan air akibat pencemaran diesel di sumber air mentah di Sungai Selangor telah pulih pada tahap 84 peratus sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) Abdul Raof Ahmad berkata, bekalan air di Gombak telah pulih 98 peratus manakala Kuala Selangor dan Hulu Selangor masing-masing mencapai pemulihan pada tahap 95 peratus dan 99 peratus serta dijangka pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pukul 6 petang esok.
“Bagaimanapun, bekalan air di kawasan Kuala Lumpur dan Klang serta Shah Alam hanya pulih pada tahap 83 peratus dan 78 peratus. Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada Jumaat ini.
“Manakala di Petaling dan Kuala Langat bekalan air dijangka akan pulih Sabtu ini dengan status pemulihan bekalan air terbaharu pada tahap 85 peratus dan 53 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu sebanyak 1, 191942 akaun di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas ekoran pencemaran minyak diesel di sumber air mentah Sungai Selangor dan Rantau Panjang.
Abdul Raof berkata, bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air terus digerakkan ke kawasan terjejas selain mengaktifkan Pusat Khidmat Setempat dan Pili Awam di kawasan terjejas.
” Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web kami www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau whatsapp ke 019-2816793 untuk sebarang bantuan,” katanya.











