IPOH 24 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendesak bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan ADUN Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib membuat permohonan maaf kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana memuat naik hantaran berunsur fitnah menerusi akaun Twitter milik mereka semalam.
Kor Ming berkata, permohonan maaf perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap dua ADUN pembangkang itu.
“Jelas dalam ciapan tersebut yang Zambry melemparkan fitnah dan tuduhan dengan mengatakan hari usul diluluskan untuk semua ADUN mengistiharkan harta semalam sebagai hari terburuk dalam sejarah sidang DUN Perak.
“Sedangkan usul semalam telah dibahas dan diluluskan oleh Dewan dan bukannya diluluskan oleh Speaker (Datuk Ngeh Koo Ham),” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Zambry dalam hantaran ciapan twitternya yang turut dikongsi Mohd. Khusairi semalam berkata: `Hari terburuk dlm sejarah Sidang DUN Perak bila Speaker buat keputusan utk usul isytihar harta kpd nya. Kami berhujah untuk isytihar kpd SPRM bukan kpd Speaker sbb dia org politik. Malah kami syorkan by-partisan comm utk bincang bersama. Semuanya dilanggar dgn cara seorg diktator’.
Mengulas lanjut, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, tindakan Zambry dan Khusairi itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di mana hukuman setimpal boleh dikenakan ke atas mereka kerana menghina majlis.
“Saya beri peluang kepada Zambry dan Khusairi untuk meminta maaf kepada dewan dalam tempoh 24 jam, sekiranya mereka tidak menafikan itu adalah ciapan mereka
“Bagaimanapun, terpulang kepada Speaker sama ada untuk menerima perohonan maaf tersebut namun sekiranya tiada permohonan maaf, tindakan berdasarkan lunas undang-undang akan diambil,” katanya.-UTUSAN ONLINE











