KUALA LUMPUR – Bintang muda negara, Muhammad Fazriq Mohamad Razif meraih kejuaraan berganda selepas muncul juara acara perseorangan dan beregu lelaki bawah 16 tahun kejohanan badminton Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Prix Final di Kelab Rekreasi Cina, Seremban, hari ini.
Pemain berusia 15 tahun yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menampilkan aksi cemerlang dengan menundukkan wakil Kuala Lumpur, Hooi Shao Herng 22-20, 21-15.
Muhammad Fazriq mengesahkan kejuaraan berganda selepas merangkul kejuaraan beregu lelaki bersama Justin Hoh dengan menundukkan pilihan utama yang juga dari BAM, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe 21-14, 21-17.
“Saya mahu jadi seseorang di dalam arena ini.
“Perkembangan ini sangat baik tetapi saya perlu terus tingkatkan kualiti permainan. Memang agak memenatkan beraksi dalam dua kategori tetapi ini satu cabaran yang perlu saya lalui sebelum memutuskan untuk terus berada dalam acara perseorangan atau beregu,” kata Muhammad Fazriq.
Acara perseorangan perempuan, wakil Selangor, K. Letshaana berjaya menundukkan juara bertahan dari Sabah, Arena Satu Samin 10-21, 21-9, 21-15.
Saingan beregu perempuan bawah 16 tahun menyaksikan kejutan berlaku apabila juara bertahan yang juga pasangan kembar, Cheng Su Hui-Cheng Su Yin dari BAM tewas kepada rakan sepasukan, Khor Jing Wen-Tan Zhing Yi dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-9, 19-21.
Seorang lagi wakil BAM, Eogene Ewe Eon turut mendominasi dalam acara perseorangan dan beregu lelaki bawah 14 tahun.
Acara perseorangan, Eogene menang ke atas rakan sepasukan Ramon Ferdinand 21-18, 22-20 sebelum mengesahkan kejuaraan berganda menerusi beregu lelaki apabila gandingannya bersama Ramon menang 21-19, 24-22 ke atas wakil BAM, Bryan Jeremy Goonting-Low Han Chen.
Dalam pada itu, Sarah Ngu muncul juara perseorangan perempuan bawah 14 tahun selepas menewaskan Siti Zulaikha Azmi Tan, 21-17, 21-18.
Impiannya untuk meraih kejuaraan berganda tidak kesampaian apabila gandingannya bersama Chan Wen Tse tumpas 21-18, 20-22, 8-21 ke atas Lim Yi Wei- Lai Ting Cen.-UTUSAN ONLINE











