PERMATANG PAUH 5 Julai – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM5 juta melalui program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) pada tahun ini berbanding RM3 juta tahun lalu.
Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, sehingga Jun tahun ini, nilai jualan JTDL telah mencatatkan jualan yang memberangsangkan sehingga mencapai jumlah RM3.5 juta.
“Kita optimis nilai jualan RM5 juta menerusi program JTDL ini berjaya dicapai memandangkan sehingga Jun ini sahaja kita berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM3.5 juta.
“Program JTDL ini juga telah diperluaskan sehingga ke 380 lokasi di seluruh negara dan ia mampu memberikan faedah kepada pembeli serta pengeluar produk buah-buahan tempatan untuk memasarkan produk mereka,” katanya selepas merasmikan kempen Jom Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini hari ini.
Menurut Ishak program JTDL itu menawarkan harga buah-buahan tempatan yang lebih rendah sehingga 25 peratus daripada harga pasaran kepada pengguna.
“Faedah kepada pengeluar pula ialah buah dapat dipasarkan secara terus kepada pelanggan dan mampu meningkatkan pendapatan pengeluar sehingga 40 peratus,” katanya. – UTUSAN ONLINE











