KUALA LUMPUR – Pemain gantian, Fadzrul Danel Nizam muncul sebagai ‘super sub’ apabila menjaringkan satu-satunya gol untuk Kedah mengesahkan gelaran juara Piala FA apabila menewaskan Perak 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Dalam aksi final itu, Fadzrul yang menggantikan David William Rowley pada minit ke-103 hanya memerlukan dua minit sahaja untuk membantu skuad Lang Merah memecah kebuntuan selepas 90 minit beraksi tanpa sebarang gol
Pemain muda itu bijak memanfaatkan peluang yang berpunca daripada hantaran Mohd. Rizal Mohd. Ghazali.
Kemenangan tersebut turut membolehkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu menjulang trofi buat kali kelima sekali gus menyamai rekod Selangor.
Kali terakhir Kedah memenangi Piala FA dua tahun lalu setelah menundukkan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam.
“Saya beritahu Fadzrul malam ini adalah untuk kamu, bagi seratus peratus dan selalu percaya kepada diri sendiri,” kata Aidil kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ketika ditanya apakah kata-kata yang dilontarkannya kepada pemain tengah itu sebelum memasuki padang.
Kejayaan membawa pulang Piala FA turut membolehkan Kedah beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara pada musim depan bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terus layak ke peringkat kumpulan kejohanan tersebut.
Perak terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan, Amirul Azhan Aznan dilayangkan kad kuning kedua selepas dia melakukan terjahan keras terhadap pemain gantian, Azammuddin Mohd. Akil di penghujung babak kedua.
Ketiadaan seorang pemain nyata memberi kelebihan kepada Kedah apabila mereka mudah mengawal permainan pada babak pertama masa tambahan dan hasilnya Fadzrul berjaya meledak gol kemenangan pasukan.- UTUSAN ONLINE











