PADA awalnya, profesion guaman syarie diamalkan oleh peguambela dan peguamcara sahaja. Dalam erti kata lain, hanya peguam sivil dibenarkan beramal di mahkamah sivil dan mahkamah syariah.
Namun, umum menyedari bahawa graduan syariah juga berkemahiran dan mempunyai ilmu dalam bidang syariah di samping boleh membantu mahkamah syariah membuat keputusan yang adil berdasarkan hukum syarak.
Oleh itu, beberapa peguambela dan peguamcara seperti Muhamad Burok, Datuk Daud Darus, Kamar Ainiah Kamaruzzaman dan saya sendiri bersetuju mengusulkan graduan syariah juga diberikan peranan sebagai peguam syarie.
Menyedari hakikat ini, usaha dilakukan untuk mengiktiraf lulusan syariah sama ada dalam dan luar negara bagi menjadi peguam syarie. Oleh itu, negeri-negeri mula menggubal Kaedah Peguam Syariah bagi mengiktiraf orang berkelayakan untuk menjadi peguam syarie.
Berdasarkan kaedah ini, kebanyakan negeri mula mengiktiraf peguambela dan peguamcara sebagai peguam syarie di samping menerima lulusan syariah sebagai peguam syarie dengan syarat tertentu seperti memiliki Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan.
Kebanyakan negeri membuat kaedah bagi penerimaan masuk peguam syarie yang berbeza antara satu sama lain iaitu berkaitan kelayakan akademik, cara penerimaan masuk dan tindakan tatatertib.
Apabila mula ramai diterima masuk sebagai peguam syarie, timbul pula keperluan untuk mengadakan satu badan khusus bagi mengawal selia peguam syarie melalui akta/enakmen dan menubuhkan badan bebas peguam syarie yang dikendalikan sepenuhnya oleh peguam syarie sebagaimana peguambela serta peguamcara.
Apatah lagi tiada badan khusus yang memantau peguam syarie. Peguam syarie juga tidak dapat membuka akaun pemegang taruh bagi menyimpan wang anakguam.
Beberapa orang peguam seperti Muhammad, Daud, Datuk Mohd. Zaidi Zain, Mohd. Isa Ralip, Musa Awang, Abdul Halim Bahari dan saya sendiri berbincang untuk mewujudkan wadah peguam syarie.
Keperluan ini penting kerana sehingga kini tidak ada wadah sama untuk peguam syarie. Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil dalam persidangannya di Terengganu memutuskan keperluan ini dan telah menggarap beberapa tindakan ke arah itu.
WUJUDKAN MAJLIS PEGUAM SYARIE NASIONAL
Idea asal adalah untuk mewujudkan suatu undang-undang peringkat kebangsaan dan mewujudkan Majlis Peguam Syarie di peringkat nasional. Ia dikatakan boleh dilakukan kerana matan (perkara utama) adalah ‘peguam’ yang terjatuh dalam senarai Persekutuan.
Beberapa tindakan dan perbincangan telah dilakukan bagi menggubal undang-undang berdasarkan pendekatan ini. Namun, selepas itu dikatakan matan perkara adalah ‘peguam’ sahaja tidak betul kerana peguam syarie beramal di mahkamah syariah berdasarkan undang-undang negeri. Oleh itu, pendekatan ini tidak dapat diambil.
Namun, dikatakan negeri boleh meminta untuk mengadakan undang-undang seragam bagi peguam syarie. Sekurang-kurangnya dua negeri mesti membuat permintaan tersebut melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Oleh itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia telah mengusahakan mendekati DUN bagi membuat permintaan tersebut.
Hasilnya DUN Melaka telah membuat permintaan tersebut. Walau bagaimanapun, tiada negeri lain yang membuat permintaan sama. Dalam hal ini metodologi ini tidak boleh digunakan.
Masalah timbul apabila Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan mengambil tindakan menggantung beberapa peguam syarie antara tiga hingga enam bulan daripada beramal kerana kesalahan etika.
Seorang daripada peguam syarie itu ialah Muhamad kerana mencabar tindakan Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ialah keputusan jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan itu diketepikan dengan kos sebanyak RM5,000 dikenakan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Keputusan mahkamah tinggi ini dibuat kerana tiada proses undang-undang dinyatakan dalam Kaedah Peguam Syarie untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana peguam syarie. Oleh itu, hak untuk didengar tidak diberikan kepada peguam syarie dan ia merupakan suatu ‘breach of natural justice’.
ERA BAHARU
Berdasarkan keputusan itu, MAIWP dalam mesyuaratnya telah membuat keputusan membentuk satu jawatankuasa yang diketuai oleh saya sendiri bagi menggubal Kaedah Peguam Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) untuk menangani isu tersebut. Jawatankuasa tersebut telah bersidang beberapa kali dan melengkapkan Kaedah Peguam Syarie tersebut.
Namun, setelah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, Jabatan Pendaftaran Negara berpandangan ia tidak boleh dibuat dalam bentuk kaedah, tetapi Akta bagi Wilayah Persekutuan dan tidak boleh membabitkan negeri-negeri.
Oleh itu, tidak boleh diwujudkan suatu badan di peringkat Persekutuan dalam akta Persekutuan bagi mewujudkan Majlis Peguam Syarie Malaysia.
Dalam hal ini, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia membentuk satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Datuk Sulaiman Daud dan saya sebagai anggotanya untuk mengubah kaedah tersebut kepada bentuk akta sepenuhnya dengan mengambil kira pindaan kepada Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Jawatankuasa ini juga telah selesai menggubal draf akta tersebut dengan mewujudkan beberapa badan tertentu dan proses mengambil tindakan tatatertib terhadap peguam syarie. Draf tersebut hanya dibuat untuk kegunaan peguam syarie di Wilayah Persekutuan dan tidak diwujudkan Majlis Peguam Syarie Malaysia.
Terkini Rang Undang-undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua dengan mengambil kira pandangan jawatankuasa yang diketuai oleh Datuk Sulaiman Daud dengan beberapa ubahsuaian seperti mengeluarkan proses tindakan tatatertib dan memasukkannya dalam kaedah.
Alhamdulillah dan tahniah kepada pihak kerajaan kerana berjaya dan membentang RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019. Pada 15 Julai lulu RUU ini telah diluluskan. Bermulalah era baru bagi peguam syarie di Wilayah Persekutuan.











