Enakmen Perbadanan Sukan bakal dibentangkan - Utusan Malaysia

Enakmen Perbadanan Sukan bakal dibentangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 24 Julai – Kerajaan negeri akan membentangkan Enakmen Perbadanan Sukan Negeri Perak 2019 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee berkata, hasrat mewujudkan perbadanan itu memerlukan kajian menyeluruh dan pihaknya telah melakukan sesi libat urus serta mesyuarat bersama pemegang taruh dalam tempoh sembilan bulan ini.

Katanya, Majlis Sukan Negeri Perak juga telah mengadakan bengkel strategik bersama jabatan-jabatan berkepentingan bagi mendapatkan mekanisme dan model perniagaan bagi tujuan penubuhan perbadanan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mesyuarat penyelarasan dan perbincangan secara khusus dan terperinci masih lagi dijalankan supaya setiap sudut dan aspek penubuhan perbadanan itu diambil kira dan diteliti.

“Ini bagi memastikan usaha menjadikan perbadanan itu sebagai sebuah entiti bagi mengawal selia dan memenuhi piawaian badan sukan antarabangsa dapat berfungsi dan bergerak efektif sekali gus memberi manfaat kepada negeri dan masyarakat,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini hari ini.

Menurut beliau, meskipun perbadanan itu masih dalam proses penelitian untuk diwujudkan, kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan prasarana sukan di negeri ini masih lagi dilaksanakan serta dijalankan seperti biasa.

Katanya, satu sekretariat telah diwujudkan iaitu Unit Khas Penubuhan Perbadanan Sukan Negeri Perak bagi mengkaji mekanisme bersesuaian bagi tujuan penyelenggaraan di bawah pengelolaan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

“Sejumlah RM1 juta yang diperuntukkan dalam Bajet 2019 yang lalu akan dikelolakan unit tersebut sebelum diambil alih oleh Perbadanan Sukan Negeri Perak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peranan perbadanan itu akan diperluaskan bukan sahaja mengurus dan mengawal selia keadaan fizikal fasiliti sukan tetapi boleh menjana dana sendiri.

“Ketika ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengendalikan kompleks sukan dengan secara purata jumlah kutipan tiket serta pulangan sewaan tahunan berjumlah RM1 juta manakala kos operasi dan penyelenggaraan pula mencecah RM4 juta,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini