KUALA LUMPUR 24 Julai- Empat rumah papan berhampiran Sekolah Tinggi Setapak di sini hangus terbakar, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, semua penghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.04 pagi dan sebanyak lapan jentera dihantar ke lokasi kejadian.
“Sebanyak 47 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Wangsa Maju, BBP Hang Tuah, BBP Keramat dan BBP Titiwangsa dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik sahaja tiba, kita mendapati keempat-empat buah rumah papan itu sedang marak terbakar dan pasukan penyelamat menjalankan operasi memadam dan pengawalan api daripada merebak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 1:40 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN ONLINE











