Empat ditahan pukul harimau sampai mati - Utusan Malaysia

Empat ditahan pukul harimau sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI – Polis India menahan empat individu hari ini selepas sekumpulan penduduk kampung memukul sehingga mati seekor harimau betina yang pernah menyerang penduduk setempat sebelum ini.

Rakaman video daripada sebuah telefon bimbit menunjukkan insiden itu menjadi viral di media sosial.

Pihak berkuasa berkata, seorang daripada sembilan penduduk yang cedera diserang harimau berkenaan sebelum ini sudah meninggal dunia di hospital.

Memuatkan artikel berkaitan…

Harimau betina itu menyerang penduduk selepas ia tersesat keluar daripada Taman Perlindungan Harimau Pilibhit di negeri utara, Uttar Pradesh, kata Majistret Daerah, Vaibhav Srivastava kepada agensi berita AFP.

“Berpuluh-puluh penduduk bersenjata bertindak mengepung haiwan itu selepas ia memasuki kampung mereka, sebelum mengejar dan memukulnya hingga mati menggunakan kayu dan lembing,” katanya.

“Seramai 32 orang dikehendaki kerana membunuh harimau itu, dengan empat orang sudah ditahan setakat ini,” tambahnya.

Video itu menunjukkan penduduk kampung memukul haiwan tersebut ketika ia terbaring tanpa sebarang pergerakan di atas tanah.

Hampir 30 orang terbunuh akibat diserang harimau di India pada 2018. Lebih 60 ekor harimau pula mati atau dibunuh di seluruh India pada tahun ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini