SHAH ALAM 25 Julai – Mahasiswa Selangor mempunyai sebab untuk tersenyum lebar dan bergembira kerana permohonan bagi Hadiah Masuk Universiti dibuka semula.
Justeru, mulai hari ini, mahasiswa yang telah mendaftar untuk sesi pengajian boleh memohon hadiah tersebut yang berjumlah RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Lebih menggembirakan, syarat kelayakan dari segi pendapatan minimum isi rumah juga telah dinaikkan daripada RM3,000 ke bawah kepada RM5,000 ke bawah.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri membuat ketetapan itu selaras dengan tekad untuk memperkasakan modal insan Selangor melalui aspek pendidikan.
“Penambahbaikan program Hadiah Masuk Universiti ini berasaskan tekad kerajaan negeri agar lebih ramai pelajar dan keluarga akan menerima manfaat daripada hasil yang diperolehi kerajaan negeri.
“Ia juga merupakan bukti kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan masa depan anak-anak yang bakal melanjutkan pelajaran sekaligus menjadi pemimpin masa hadapan.
“Oleh itu program yang berasaskan agenda pendidikan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Hadiah Masuk Universiti, Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) dan Peduli Siswa akan terus ditambah baik demi manfaat rakyat negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Amirudin, mahasiswa boleh memohon bagi menerima Hadiah Masuk Universiti di laman sesawang rasmi: hpipt.selangor.gov.my .
Tarikh tutup permohonan ialah pada 27 Ogos 2019. – UTUSAN ONLINE











