IPOH 24 Julai – Perak bakal menurunkan barisan pemain terbaiknya pada perlawanan akhir Piala FA menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Jurulatih skuad Boss Gaurus, Mehmed Durakovic berkata, semua anak buahnya bebas daripada sebarang masalah kecederaan mahu pun digantung perlawanan.
Menurutnya, ini membolehkan dia membuat perancangan yang rapi untuk membentuk skuad terbaik bagi menghadapi pasukan lawan pada Sabtu ini.
“Saya mempunyai banyak pilihan pemain kerana tiada di antara yang mereka yang cedera atau digantung perlawanan.
“Cuma Brendan Gan mengalami sedikit kecederaan tapi saya yakin dia boleh beraksi pada final nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Perak di sini hari ini.
Mengenai pasukan lawan, Mehmed mengakui Kedah sebuah pasukan yang sangat bagus dan menyifatkan ia sebagai lawan yang sukar untuk dikalahkan.
Namun, tegas Mehmed, Perak juga sebuah pasukan yang bagus dan akan memberikan tentangan habis-habisan kepada lawannya.
“Pertembungan dua pasukan yang baik sudah pasti menjanjikan satu perlawanan akhir yang menarik.
“Stadium sudah tentu akan dipenuhi dengan penyokong kedua-dua pasukan namun hanya pasukan terbaik akan muncul sebagai pemenang,” katanya.
Sementara itu, Mehmed merayu penyokong Perak supaya datang berama-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini untuk memberikan semangat kepada pemain Perak.
Katanya, penyokong akan menjadi pemain ke-12 buat pasukan Perak.
“Kepada para penyokong, kami perlukan bantuan anda, datang dan sokonglah pasukan anda. Ia akan menjadi final yang menarik apatah lagi Perak sudah lama tidak mendakap Piala FA” katanya. – UTUSAN ONLINE











