DUN Perak lulus usul ADUN isytihar harta - Utusan Malaysia

DUN Perak lulus usul ADUN isytihar harta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 23 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan usul pengisytiharan harta melibatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekali gus menjadi negeri pertama yang berbuat demikian mengikut jejak langkah Dewan Rakyat dan Dewan Negara di peringkat nasional.

Usul berkenaan diluluskan melalui undian suara selepas dibahaskan tanpa sesi pergulungan dilakukan kerana usul berkenaan didakwa bukan dibawa oleh pihak kerajaan, sebaliknya melalui ‘backbencher’ menerusi ADUN Pasir Bedamar dari DAP, Terence Naidu.

Dengan kelulusan usul berkenaan, ia bermakna kesemua 59 ADUN di negeri ini wajib mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam tempoh masa tiga bulan bermula hari ini sebelum 23 Oktober depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekiranya gagal mematuhi peraturan itu, mereka boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan negeri di bawah Perkara 72 yang mana sekiranya didapati bersalah, individu berkenaan boleh digantung selama enam bulan atau setahun, tertakluk kepada keputusan jawatankuasa tersebut.

Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming mendakwa, usul yang dibawa itu menepati semua lunas undang-undang serta mengikut tatatertib berpandukan Perintah Tetap.

Beliau berkata, pengisytiharan harta tersebut yang dikawal di bawah Akta 738 Akta Akuan Berkanun 1960 itu juga memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika mana-mana individu didapati memberikan pengisytiharan palsu.

“Hari ini merupakan hari bersejarah dalam DUN Perak. Kita merasa kesal walaupun dalam perbahasan, pembangkang menjelaskan bahawa mereka menyokong dengan pindaan usul tetapi apabila waktu pengundian, mereka semua kata tidak setuju.

“Jelas ini adalah helah licik yang cuba memesong dewan dan cuba mengelirukan rakyat kerana sebenarnya mereka bantah. Tidak perlu pindaan kerana usul yang dibawa oleh Pasir Bedamar itu adalah sama dengan usul yang dibawa oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di luar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mengikut usul berkenaan, semua ADUN Perak hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam akuan berkanun, dalam bentuk dan borang sepertimana yang ditetapkan oleh Yang Dipertua Dewan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

Akuan berkanun tersebut hendaklah dikemukakan kepada Koo Ham dalam tempoh tiga bulan dari tarikh usul berkenaan diluluskan dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Namun begitu, hanya butiran pengisytiharan harta ADUN Perak tersebut yang akan dipaparkan dalam portal SPRM dari tarikh penerimaan akuan berkanun itu oleh pihak SPRM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini