Dua siswi USIM sertai misi bantu wanita di Bosnia - Utusan Malaysia

Dua siswi USIM sertai misi bantu wanita di Bosnia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 25 Julai – Dua pelajar perempuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyahut cabaran dalam misi kemanusiaan bagi membantu kaum wanita di Bosnia yang dijadualkan dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Maryam Nur Imran dan Rabaatul Adawiyah Junus yang merupakan merupakan pelajar tahun tiga Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM bekerjasama dengan Islamic Relief Malaysia (IRM) dalam projek ‘Mission to Bosnia : Empowering Women and Children’ itu. 

IRM dalam satu kenyataan berkata, selepas peperangan di Bosnia pada tahun 1992 yang mengakibatkan kerosakan dan kehilangan nyawa, negara itu belum mampu bangkit sepenuhnya dan memerlukan bantuan dari pihak luar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut kenyataan itu, kedua-dua siswa yang merupakan pelajar Gap Year USIM akan terlibat dalam misi kemanusiaan yang memfokuskan kepada golongan ibu tunggal di negara berkenaan.

“Tujuan misi ini adalah membantu menggerakkan sumber ekonomi dan menjana pendapatan kepada mereka melalui projek peti pengering makanan.

“Sepanjang berada di sana, siswi USIM itu bersama IRM akan mengajar kumpulan ibu tunggal proses bagaimana projek pengering makanan ini mampu menjana pendapatan mereka.

“Beberapa unit peti pengering makanan yang akan diserahkan kepada mereka adalah hasil sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut IRM, siswi USIM itu juga akan menyertai beberapa program lain antaranya mengunjungi pejabat Islamic Relief Bosnia, aktiviti terapi untuk kanak-kanak, pengedaran pek makanan, pemindahan ilmu pembuatan kek dan jahitan, pertukaran budaya dan lawatan di tempat bersejarah.

Ujarnya, kedua-dua siswi itu bermotivasi tinggi untuk memastikan misi di Bosnia berjaya mencapai objektifnya setelah berjaya melaksanakan Projek Perpustakaan Mini dan Pemantapan Jati Diri di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Dengkil di Selangor serta Projek Aqua & WASH Taharah di Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah.

Katanya, misi kali ini menelan kos sekitar RM65,000 dan pihak yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkannya kepada akaun IRM (CIMB Islamic – 8602073818). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini