KUALA LUMPUR 26 Julai – Seorang wanita warga China bukan sahaja mengalami kerugian malah turut cedera apabila beg tangannya direntap peragut sehingga dia terjatuh di atas jalan dalam kejadian di hadapan kondominium di Bandar Sri Permaisuri, kelmarin.
Kejadian pada pukul 3.40 petang yang menunjukkan mangsa diragut dua lelaki bermotosikal itu turut tular dalam media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mokhsein Mohamed Zon berkata, ketika mangsa sedang berjalan di hadapan kondominium, terdapat dua lelaki berlegar-legar dengan menaiki motosikal sebelum seorang daripada mereka meragut beg tangan mangsa.
Ujarnya, kejadian itu membuatkan mangsa jatuh di atas jalan raya dan cedera di bahagian mata, tangan dan kaki manakala beg tangan miliknya yang mengandungi wang tunai RM4,000, gelang tangan perak, telefon bimbit dan pasport dilarikan suspek.
“Bertindak atas maklumat, dua suspek berusia 26 dan 27 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian ragut tersebut ditahan pada pukul 2.30 pagi semalam di kawasan Bandar Tun Razak, Cheras.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, kita menemukan lapan peket plastik mengandungi syabu seberat 5.5 gram, sebiji pil erimin, dua beg bimbit, lima telefon bimbit,dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan emncuri motosikal,” katanya dalam sati kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mokhsein, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 19 dan 21 rekod jenayah lampau membabitkan samun, curi motosikal dan dadah.
“Kedua-dua suspek telah ditahan di lokap Balai Polis Cheras dan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 dan 379(A) Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(1), 12 (2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











