Dua pekerja kilang maut motosikal dirempuh trak tentera  - Utusan Malaysia

Dua pekerja kilang maut motosikal dirempuh trak tentera 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Dua pekerja sebuah kilang elektronik maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah trak tentera di Jalan Utama Taman Tuanku Jaafar, Senawang dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang itu, kedua-dua mangsa yang dipercayai baru selesai menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Senawang maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, semasa kejadian trak tentera tersebut sedang bergerak dari arah Kem 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)  Senawang menuju ke arah Rasah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kemudian sebuah motosikal jenis Honda EX-5 ditunggang seorang lelaki berumur 28 tahun bersama pembonceng lelaki berumur 42 tahun dari arah bertentangan masuk ke simpang kanan secara tiba-tiba.

“Insiden itu menyebabkan trak tentera tersebut tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri motosikal berkenaan.

“Pelanggaran menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal itu tercampak dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini. 

Mohd. Said berkata, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kosmo! difahamkan trak tentera itu dalam perjalanan dari Kem 15 RAMD menghala ke Masjid Tuanku Jaafar untuk mengambil anggota tentera yang selesai solat Jumaat. 

Kemalangan itu berlaku di simpang tiga sebuah kawasan perindustrian di Taman Tuanku Jaafaar berhampiran Balai Pengawal Hadapan Kem 15 RAMD. 

Dua mangsa yang maut ialah penunggang motosikal Nur Firdaus Zolkepli dan pembonceng, Mohd. Nizar Aziz. 

Satu rakaman video kemalangan itu yang sempat dirakam oleh sebuah kenderaan lain tular di media sosial hari ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini