Dua lelaki ditahan bersama syabu dan heroin - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan bersama syabu dan heroin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS – Dua lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dan heroin dalam satu serbuan di Rest House Residen Inn di sini.

Serbuan sempena Ops Tapis itu dilakukan kira-kira pukul 1.30 pagi hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap seorang pembantu kedai berusia 23 tahun dari Jalan Cheneras Indah, di sini dan seorang penganggur berusia 25 tahun dari Kampung Batu Embun, Jerantut di dalam sebuah bilik di tempat penginapan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan awal pada badan kedua-dua suspek bagaimanapun tidak menemui barang terlarang.

“Pihaknya kemudiannya melakukan pemeriksaan di sekitar bilik terbabit dan menemui satu beg galas warna biru jenama Quechua di atas meja kecil,” katanya hari ini.

Menurutnya, polis telah membuka beg berkenaan dan menemui satu bekas kaca berisi sembilan paket plastik jernih yang disyaki mengandungi syabu kira-kira 19.80 gram.

“Kita turut menemui dua paket plastik jernih berisi serbuk keputihan disyaki heroin seberat hampir 55.42 gram serta wang tunai RM550, alat penimbang dan beg plastik di dalam beg berkenaan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, penganggur terbabit turut mengakui dadah yang bernilai RM4050 yang ditemui itu adalah miliknya dan siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kita telah menjalankan ujian urin terhadap kedua-dua suspek terbabit dan mereka didapati positif methamphetamine,” jelasnya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A 2 ADB 1952 dan Seksyen 15 (1)(A) ADB 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini