IPOH – Sebanyak 27,000 tiket yang diperuntukkan untuk penyokong Perak bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Perak dan Kedah Sabtu ini habis dijual dalam tempoh dua jam hari ini.
Sebanyak 15,000 tiket dijual di Stadium Perak habis dijual selepas dua jam kaunter tiket dibuka kepada orang ramai iaitu pada pukul 10.30 pagi.
Difahamkan, 12,000 tiket lagi yang dijual di seluruh daerah di negeri ini turut kehabisan.
Petugas Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengumumkan tiket habis dijual di Stadium Perak kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari tadi.
Katanya, tiada lagi jualan tiket akan dibuat walaupun jualan tiket sepatutnya dibuka sehingga pukul 3.30 petang.
Rentetan itu, para penyokong The Bos Gaurus yang tiba lewat untuk membeli tiket berkenaan terpaksa pulang dangan hampa apabila kaunter ditutup pada pukul 12.45 tengah hari.
Tinjauan Kosmo! Online di pekarangan Stadium Perak mendapati jualan tiket berjalan lancar dan rata-rata penyokong berpuas hati dengan kaedah penjualan di empat kaunter tiket itu.
Mereka menyifatkan penjualan tiket kali ini agak telus walaupun ia habis dalam tempoh yang singkat. – K! ONLINE











