KUALA LUMPUR 28 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dapat menjadi Perdana Menteri mengikut rancangan peralihan kuasa Pakatan Harapan (PH).
Ahmad Zahid berkata, semua orang tahu Anwar bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan orang ramai juga percaya Dr.Mahathir tidak akan menyerahkan jawatan itu kepadanya.
“Semua orang tahu, ciumlah mulut tujuh kali sehari pun,” katanya ketika berucap di perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Kuala Kedah semalam seperti dipetik portal Free Malaysia Today.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut menolak sebarang kerjasama politik dengan Anwar selagi presiden PKR itu terus bersama dengan DAP.
“Saya sebut banyak kali sebab ramai orang tak faham,” katanya.
Beliau juga mengumumkan tiga syarat yang perlu dipenuhi Dr. Mahathir jika mahu parti-parti Melayu bergabung.
“Pertama, Pas mesti dilibatkan dalam kerjasama itu, sebab UMNO tidak akan mengkhianati parti Islam itu lagi.
“Kedua, jangan bubarkan UMNO, dan ketiga, jangan minta ahli UMNO melompat parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











