KUALA LUMPUR 24 Julai – Kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal sebanyak 39 peratus kepada RM21.4 bilion bagi tempoh lima bulan pertama 2019, daripada RM35.0 bilion pada tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, kerajaan turut mengurangkan defisit akaun semasa kepada RM1.1 bilion bagi tempoh sama 2019, iaitu penurunan sebanyak 94 peratus atau RM16 bilion daripada RM17.1 bilion bagi tempoh 2018.
“Disiplin fiskal telah diketatkan dengan gabungan kawalan lebih ketat terhadap perbelanjaan mengurus, melalui amalan tender terbuka yang kompetitif dengan lebih meluas serta pengenaan belanjawan asas sifar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tender terbuka yang kompetitif dan belanjawan asas sifar memberikan kesan positif kepada keadaan kewangan kerajaan serta membolehkan perbelanjaan pembangunan dinaikkan 13 peratus atau RM2.4 bilion bagi lima bulan pertama 2019, berbanding tempoh sama 2018.
“Usaha konsolidasi fiskal yang berjaya adalah antara faktor mendorong Fitch Ratings mengesahkan semula penarafan kredit berdaulat pada A- dengan unjuran stabil pada 18 Julai, 2019. Ini berikutan pengesahan semula yang sama oleh S&P Global Ratings pada 3 Julai, 2019.
“Bagaimanapun, kerajaan menyedari perbelanjaan subsidi yang ditanggung dan akan terus menguruskan perbelanjaan secara berhemat,” katanya.
Beliau berkata, seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2019, kerajaan bercadang membelanjakan RM259.9 bilion untuk tujuan perbelanjaan mengurus tahun ini.
Perbelanjaan mengurus sebanyak RM106.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei 2019 merupakan 41.0 peratus daripada jumlah yang telah diperuntukkan, katanya.
“Berdasarkan kepada prestasi fiskal semasa, kerajaan yakin dapat mencapai sasaran defisit fiskal 3.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di samping memastikan imbangan akaun semasa berada dalam keadaan lebihan pada 2019,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya tiada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, dua rakan dagang Malaysia terbesar, Kementerian Kewangan percaya kerajaan akan dapat mencapai sasaran defisit serendah 3.0 peratus berbanding KDNK 2020.
Secara keseluruhannya, kerajaan yakin ekonomi negara akan berkembang secara mampan pada tahun ini dan 2020 serta kerajaan berada di landasan yang betul untuk memulihkan kembali keadaan kewangannya pada 2021. – BERNAMA











