KUALA LUMPUR 24 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Unit Berkuda, Jabatan Penguatkuasaan menawarkan aktiviti berkuda kepada murid istimewa sekolah pendidikan khas di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.
DBKL dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, aktiviti itu melibatkan 36 buah sekolah pendidikan khas di sekitar ibu kota dan diberikan secara dengan percuma.
“Setiap sekolah yang ingin menyertai aktiviti ini perlu mendaftar terlebih dahulu di Jabatan Penguatkuasaan DBKL bagi tujuan penyusunan jadual.
“Pada hari aktiviti riadah ini dilaksanakan, ia akan melibatkan tiga hingga empat buah sekolah,” katanya.
Menurut DBKL, sehingga kini, jumlah sekolah dan murid istimewa yang telah hadir menyertai aktiviti itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Segar melibatkan 45 murid, Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Petaling (tujuh murid) dan SK Taman Tun Dr. Ismail (30 murid).
“Perkhidmatan secara percuma ini dikendali dan diawasi oleh petugas Unit Berkuda DBKL yang terlatih dan profesional,” katanya. – UTUSAN ONLINE











