KUALA LUMPUR 23 Julai – Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya mematahkan cubaan membawa keluar dadah seberat 723.66 gram yang disembunyikan dalam paket kopi segera dibawa seorang penumpang di Lapangan Terbang Miri di sini, semalam.
Menurut laporan portal Utusan Borneo, suspek lelaki warga tempatan berusia 22 tahun itu cuba menaiki penerbangan terawal ke Kuala Lumpur pada pukul 6.20 pagi dengan membawa dadah berkenaan yang disembunyikan dalam bungkusan kopi segera dan di dalamnya mengandungi 14 paket kecil kopi segera.
Bagaimanapun semasa beg troli berwarna hitam yang dibawa suspek diimbas bagasi di Lapangan Terbang Miri, petugas mendapati sesuatu yang mencurigakan dan kemudian menghubungi BSJND Miri untuk tindakan lanjut.
Hasil pemeriksaan lanjut polis ke atas beg troli yang dibawa suspek, pihak polis menemukan 14 paket kopi segera dengan masing-masingnya berisi ketulan-ketulan ketamin dengan berat kasar 723.65 gram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintenden Sahar Abdul Latif ketika dihubungi Utusan Borneo mengesahkan penangkapan suspek dengan nilai rampasan dianggarkan RM72,000.
“Polis juga turut menyita rantai emas milik suspek yang dianggarkan bernilai RM5,100,” katanya sambil menambah suspek dibawa ke IPD Miri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam satu lagi kes berasingan, Sahar berkata, polis BSJND Miri turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang disyaki terbabit dengan kes pengedaran dadah di daerah itu.
“Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, pada 18 Julai lalu, sepasukan polis dari BSJND Miri telah menahan suspek di kawasan letak kereta pusat komersial Waterfront Miri, Sarawak.
“Hasil pemeriksaan badan, pasukan polis menjumpai 20 papan pil warna merah dan perak yang disyaki dadah jenis nimetazepam dianggarkan seberat 53.3 gram dalam genggaman tangan suspek,” ujarnya.
Tambah Sahar, turut ditemukan satu paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan-ketulan disyaki dadah jenis ketamine, dianggarkan seberat 51.05 gram. Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM10,100.-UTUSAN ONLINE











