JAKARTA 23 Julai – Cadangan Ketua Dewan Kehormatan Parti Amanat Nasional, Amien Rais berhubung pembahagian kerusi Kabinet sebanyak 55-45 kepada pembangkang sebagai syarat perdamaian Joko Widodo (Jokowi)-Prabowo Subianto, mencetuskan kritikan dalam kalangan parti pakatan Jokowi-Ma’ruf Amin.
Lapor Detik News, parti pakatan Jokowi-Ma’ruf bagaimanapun menolak sekeras-kerasnya cadangan itu.
Parti Nasional Demokrat (NasDem) menegaskan tidak sewajarnya Amien berbicara mengenai soal pembahagian kerusi sewaktu penggal kedua rejim pemerintahan Jokowi.
NasDem meminta kubu Prabowo agar mengeluarkan kenyataan bersesuaian dengan peranannya.
“Saranan saya adalah lebih baik membincangkan mengenai usaha mengukuhkan negara ini berbanding soal pembahagian Kabinet 55-45, sibuk mahu mengurus semua perkara.
“Itu bukan urusan mereka, kita pun tidak ambil peduli, itu adalah terletak pada kuasa Presiden (Jokowi),” ujar Setiausaha Jeneral NasDem, Johnny G Plate di pejabat Dewan Pimpinan Pusat (DPP) NasDem, Gondangdia, Jakarta Pusat semalam. – AGENSI











