KEMAMAN – Seorang buruh ladang maut selepas digilis sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang sedang ditundanya di Ladang Kelapa Sawit Cottage Roma dekat sini semalam.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 11.30 pagi itu, A. Pathmanathan, 33, ditemui mati di bawah kenderaan pacuan empat roda berkenaan dengan kesan kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, kemalangan yang menimpa Pathmanathan hanya disedari salah seorang rakan sekerjanya paa pukul 1.43 petang.
Beliau berkata, sebelum kejadian, lelaki itu dikatakan sedang menunda sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang mengalami kerosakan dengan kenderaan jenis sama.
“Sewaktu tiba di kawasan bercerun, mangsa dikatakan telah menanggalkan kabel tunda terbabit yang telah menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu kemudiannya bergerak dengan sendiri.
“Dia kemudiannya dipercayai cuba menahan kenderaan berkenaan daripada bergerak sebelum terjatuh dan digilis lalu terperosok ke bawah Toyota Hilux terbabit,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE











